Ipoh: Lelaki warga emas ditemukan lemas di dalam parit di Pekan Sungai Dulang dekat Hutan Melintang, hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.42 pagi.
“Lelaki berusia 83 tahun itu dipercayai terjatuh sebelum lemas di dalam parit berkenaan. Sebaik bomba tiba, mangsa dibawa ke tepi parit oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat, katanya tamat sepenuhnya pada 10.46 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




