Lelaki warga Taiwan maut terjatuh di landasan LRT

Lelaki warga Taiwan maut terjatuh di landasan LRT

harisfadli@hmetro.com.my

Serdang: Lelaki warga Taiwan maut digilis gerabak Transit Aliran Ringan (LRT) selepas dipercayai terjatuh ke atas landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.05 petang.

“Jentera dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang dikerah ke lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki berusia 63 tahun berada di bawah LRT dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, jasad mangsa berjaya dibawa keluar dari bahagian bawah gerabak terbabit oleh pasukan penyelamat pada 8.05 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, warga emas itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

“Proses pengalihan mayat selesai , dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Idris Shah untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Pada masa sama beliau meminta orang ramai supaya tidak menularkan sebarang gambar mangsa bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top