Leluhur cemerlang Sarpin, Nafsiah

Leluhur cemerlang Sarpin, Nafsiah

am@.com.my

Pontian: Seramai 225 waris daripada keturunan Allahyarham Sarpin Suratman dan isterinya Allahyarhamah Nafsiah Yusof berkumpul buat kali pertama, meneruskan legasi leluhur mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan kerjaya sejak lebih enam dekad lalu.

Perjumpaan bersejarah itu diadakan di kediaman Wagiman Sarpin, 67, anak ketujuh daripada sembilan beradik, di Kampung Puteri Menangis, Benut, di sini, semalam.

Allahyarham Sarpin yang meninggal dunia pada 28 Oktober 2002, dan Allahyarhamah Nafsiah pada 10 Jun 2002, meninggalkan 9 anak, 43 cucu dan 85 cicit.

Sebahagian besar keturunan mereka kini menjadi pensyarah, jurutera, imam, petani moden, aktivis komuniti, guru, usahawan dan pemimpin masyarakat yang menetap di Pontian, Kuala Lumpur serta Johor Bahru.

Sapuan Ahmad, yang mempengerusikan Majlis Penyatuan Ukhwah Legasi itu berkata, perjumpaan ini bertujuan mengeratkan kembali ikatan silaturahim dalam kalangan generasi ketiga dan keempat keluarga terbabit.

“Allahyarham Sarpin bukan sekadar mewariskan tanah atau nama, tetapi nilai budi dan jati diri yang mendalam kepada keturunan mereka.

“Beliau bersama isterinya menjadi ‘tiang seribu’ yang menegakkan rumah besar ini, kini menjadi naungan kepada ratusan keturunan,” katanya yang juga seorang peniaga.

Sapuan berkata, kejayaan keluarga Allahyarham bukan sahaja dalam bidang akademik dan keusahawanan, malah kekuatan utama mereka terletak pada pendidikan agama yang kukuh.

“Tidak dinafikan, keluarga Allahyarham memang semua berjaya dan cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Didikan yang sempurna dan lebihkan kepada keagamaan punca kejayaan dan menjadi contoh terbaik kepada kita semua,” katanya.

Majlis ini turut memperingati jasa Allahyarham berdua sebagai antara peneroka awal Kampung Puteri Menangis, yang kini berkembang pesat hasil semangat gigih dan nilai kebersamaan yang diwariskan mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top