KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) akan duduk semeja selepas Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 bagi membincangkan isu-isu bersesuaian termasuk perkara berkaitan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perbincangan antara parti dalam PN itu dijangka diadakan dalam masa terdekat sejurus selesai Muktamar Pas.
“Ya, dalam masa terdekat. Lepas Muktamar,” katanya semasa menghadiri mesyuarat akhir persiapan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin memberitahu, beliau masih belum menerima sebarang makluman daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selepas dipanggil selama empat jam untuk memberikan keterangan minggu lalu.
Ujarnya, ketika ini beliau sedang menunggu maklum balas daripada RoS.