Lepasi tempoh mandat tiga tahun, PRK Pandan, Setiawangsa tidak perlu diadakan – Pakar perlembagaan

Lepasi tempoh mandat tiga tahun, PRK Pandan, Setiawangsa tidak perlu diadakan – Pakar perlembagaan

SHAH ALAM – Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa yang bakal dikosongkan dua penyandangnya, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada Isnin tidak perlu diadakan dalam masa terdekat memandangkan penggal Parlimen ke-15 ini telah mencapai tempoh mandat melepasi tiga tahun.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berkata, perkara itu adalah sejajar dengan Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa suatu PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang.

Sebagai rekod, tarikh 19 Disember 2022 ialah hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 dengan mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada Disember 2027.

Wan Ahmad Fauzi bagaimanapun berkata,tempoh akhir bagi mengadakan PRK untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah berbeza, bergantung kepada tarikh kali pertama DUN berkenaan bersidang selepas pilihan raya umum lepas.

“Sepertimana Parlimen, PRK juga tidak boleh lagi diadakan bagi DUN dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan berakhir, kecuali ada keperluan khas.

“Keperluan khas itu termasuklah jika berlaku situasi di mana kerajaan pusat atau negeri tidak lagi mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat atau DUN, menyebabkan kerajaan sedia ada hilang kelayakan untuk memerintah negara atau negeri,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Rafizi dan Nik Nazmi, kedua-duanya pernah menggalas jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini, membuat pengumuman mengejutkan apabila kedua-duanya nekad akan mengosongkan kerusi Parlimen yang disandang pada Isnin ini, dan akan menghantar surat peletakan jawatan kepada PKR bagi menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai ahli pada Selasa.

Kedua-dua tokoh berpengaruh itu turut mengumumkan langkah untuk mengambil alih Bersama dalam satu majlis khas yang diadakan di Petaling Jaya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi menegaskan jika Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) situasi di mana kerajaan sedia ada tidak boleh lagi membentuk kerajaan kerana hilang majoriti dalam dewan, PRK boleh diadakan.

“Ketika ini, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Bersama atau Malaysian United Party didaftarkan pada tahun 2016 di Pulau Pinang.

Rafizi turut memaklumkan hasrat untuk parti itu menggunakan kancil atau pelanduk sebagai logo baru dan bukan logo sebelum ini.

Sementara itu, lima lagi Ahli Parlimen PKR turut hadir dalam majlis berkenaan dan dilihat bergambar bersama Rafizi dan Nik Nazmi.

Mereka ialah Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); Wong Chen (Subang); Rodziah Ismail (Ampang), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Scroll to Top