Lewis Hamilton di Ferrari penuh 'red flags', pakar ramal gagal buru kejuaraan F1

Lewis Hamilton di Ferrari penuh 'red flags', pakar ramal gagal buru kejuaraan F1

Milan: Perjalanan legenda Formula Satu (F1), Lewis Hamilton bersama Ferrari mula menimbulkan tanda tanya apabila beberapa penganalisis sukan permotoran antarabangsa melihat banyak “red flags” yang boleh menggagalkan misinya memburu gelaran dunia bersama pasukan Itali itu.

Hamilton yang meninggalkan Mercedes selepas lebih sedekad penuh kejayaan, dianggap membuat langkah berani apabila menyertai Ferrari.

Namun, selepas beberapa perlumbaan, sorotan awal mula berubah kepada kebimbangan sama ada langkah besar itu membawa kejayaan atau sebaliknya.

Antara isu yang menjadi perhatian ialah pengurusan Ferrari yang dikatakan tidak konsisten selain sering bertukar kepemimpinan, sekali gus menjejaskan kestabilan pasukan.

Keadaan itu menimbulkan keraguan sama ada Ferrari mampu memberikan sokongan penuh kepada Hamilton.

Selain itu, kegagalan mengekalkan tenaga kerja utama dalam projek enjin 2026 turut dipandang sebagai amaran besar.

Jika unit kuasa baharu itu tidak cukup mantap, Ferrari berisiko ketinggalan berbanding pasukan lain yang sudah jauh lebih bersedia.

Keputusan teknikal di bawah kendalian Fred Vasseur juga menjadi bahan perdebatan.

Walaupun dianggap pemimpin yang berwibawa, sebahagian pemerhati mengkritik konsep kereta baharu untuk 2025 yang dianggap terlalu berisiko, lebih-lebih lagi ketika prestasi musim 2024 sebenarnya tidaklah terlalu lemah.

Dalam masa sama, ada pandangan yang mengatakan Hamilton belum benar-benar diberi keutamaan berbanding Charles Leclerc yang dilihat sebagai ‘anak emas’ Ferrari.

Situasi itu menimbulkan persoalan besar mengenai status Hamilton dalam skuad yang terkenal dengan sejarah dramatik.

Penganalisis percaya, sekiranya Ferrari gagal membina kestabilan organisasi serta menghasilkan jentera kompetitif, impian Hamilton untuk menjulang kejuaraan dunia bersama pasukan merah itu mungkin hanya tinggal mimpi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top