Liga-M: Selangor bakal rombak pasukan

Selangor: Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor bakal merombak pasukan mereka musim hadapan dengan gabungan pemain muda dan awang import yang lebih berkualiti bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Lantas, ini bermakna beberapa pemain senior dalam skuad Gergasi Merah akan digugurkan atau tidak disambung kontrak bagi memberi laluan kepada perancangan terbabit demi memastikan Selangor berjaya mencapai sasaran sekurang-kurangnya mendakap satu piala dan menempah slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata bahawa pihaknya mahu memberi laluan kepada pemain lebih muda terutama daripada pasukan Selangor 2 untuk beraksi bersama skuad utama.

Beliau berkata juga bahawa pengguguran beberapa nama dalam skuad utama bukanlah bererti mereka tidak berkualiti cuma tidak sesuai untuk dikekalkan dalam perancangan barisan kejurulatihan pada musim depan.

“Kita mahu menguatkan lagi pasukan utama sekali gus terpaksa menggugurkan beberapa nama sedia ada termasuk sebahagian besar pemain import. Pada masa yang sama, beberapa nama pemain muda daripada skuad Selangor 2 akan dibawa masuk manakala selebihnya bergantung pada keadaan nanti”, katanya.

“Pemain import pula, kita tidak akan mengambil mereka yang sudah beraksi dalam Liga Malaysia tetapi akan mencari yang lain iaitu dari negara Eropah”, tambahnya lagi ketika dihubungi Arena Metro.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top