hafizithnin@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: “Setiap kali nak bawa mereka keluar, hati saya berdebar, takut orang tanya anak siapa, kenapa tak ada sijil lahir,” kata ibu kepada lima kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran.
Noorsyuhada Mohamad, 29, akhirnya menarik nafas lega apabila lima daripada tujuh anaknya kini sah memiliki sijil kelahiran selepas sekian lama hidup tanpa dokumen pengenalan diri.
Noorsyuhada mendakwa, masalah berpunca kerana suami tidak peka terhadap pendaftaran kelahiran lima anak mereka yang berusia antara empat hingga 11 tahun.
“Anak saya kelima dan ketujuh memang sudah ada sijil lahir. Mereka berdua masing-masing berusia enam dan tiga tahun. Manakala anak yang lain tidak mempunyai sijil kelahiran.
“Selain rasa takut untuk membawa mereka keluar, lima anak saya ini juga tidak bersekolah dan saya hanya mengajar mereka membaca dan mengira sahaja di rumah,” katanya selepas menerima sijil kelahiran lima anaknya daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini, hari ini.
Pada 24 Januari 2026, Pengarah Jabatan Pendaftaran (JPN) Selangor menerima satu video daripada Facebook (FB) Abbe Hae berkaitan inisiatif Jejak Jalanan yang memaparkan situasi sebuah keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.
Pada tarikh sama, Ketua Bahagian Penyelarasan Operasi turun ke lokasi bagi mendapatkan maklumat awal.
Pada 30 Januari lalu, JPN Selangor membuat pengesahan bertulis dengan hospital tempat kelahiran kelima-lima kanak-kanak berkenaan. Seterusnya, pada 9 Februari 2026, JPN Selangor meluluskan permohonan berkenaan.
Noorsyuhada berkata, meskipun lima anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran tetapi mereka mempunyai surat pengesahan daripada hospital.
“Selepas semua dokumen lengkap diserahkan, proses mendapatkan sijil kelahiran hanya mengambil masa antara satu hingga dua minggu. Proses ini dipermudahkan oleh semua pihak,” katanya.
Dia berkata, selepas lima anaknya menerima sijil kelahiran itu, dia ingin menyegerakan pendaftaran persekolahan mereka supaya tidak ketinggalan dalam pendidikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




