LATEST

Lima maut, 10 cedera dalam insiden tembakan di Poland

Lima maut, 10 cedera dalam insiden tembakan di Poland

Warsaw: Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala 10 lagi cedera dalam insiden tembakan di pusat bersejarah bandar Krakow, selatan Poland, pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media Poland.

Insiden itu berlaku sejurus selepas 3 petang waktu tempatan (1400 GMT), berhampiran Dataran Pasar Utama, antara destinasi pelancongan paling sibuk di Poland.

Penyiar Poland TVN24 melaporkan jumlah korban dan mangsa yang cedera itu dengan memetik pihak bomba.

Menurut stesen radio RMF FM, penyerang yang menaiki sebuah kenderaan di Jalan Slawkowska menuju ke dataran utama melepaskan tembakan ke arah orang ramai di kawasan berkenaan.

Stesen radio itu turut melaporkan kerosakan pada sebuah kedai dan sebuah trem.

Pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala sebuah helikopter ambulans udara mendarat di dataran itu.

Perdana Menteri Donald Tusk berkata polis sedang menyiasat insiden tembakan berkenaan dan beliau menerima perkembangan terkini daripada Kementerian Dalam Negeri.

Polis masih belum mengesahkan identiti penyerang atau motif serangan, manakala siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian masih dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news