Lima maut ketika cuba selamatkan perenang di sungai

Lima maut ketika cuba selamatkan perenang di sungai

OHIO – Cubaan menyelamatkan seorang perenang yang sedang bergelut di sebuah sungai di negeri Ohio bertukar tragedi apabila lima individu yang terjun untuk membantu turut ditemukan maut.

Kejadian berlaku di Sungai Scioto, Powell pada Ahad, selepas seorang kanak-kanak yang panik menahan sebuah kenderaan dan memaklumkan keluarganya berada di dalam sungai sebelum pemandu itu menghubungi talian kecemasan.

Menurut Pejabat Sheriff Daerah Delaware, mangsa terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki yang dipercayai memasuki sungai secara bergilir-gilir untuk menyelamatkan seorang individu yang sedang bergelut di dalam air.

Bagaimanapun, arus deras menyebabkan mereka sendiri gagal menyelamatkan diri.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan dua wanita dari sungai, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia di hospital.

Mayat tiga lagi mangsa ditemui dalam operasi mencari yang disambung keesokan harinya.

Sheriff Daerah Delaware, Jeffrey Balzer menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi yang menyayat hati dan menggesa orang ramai supaya tidak mengambil risiko memasuki sungai tanpa mengambil kira keadaan arus serta kemampuan berenang masing-masing.

Beliau berkata, paras dan kelajuan arus Sungai Scioto meningkat dengan ketara dalam beberapa hari sebelum kejadian, sekali gus menjadikan kawasan itu lebih berbahaya daripada kebiasaan.

Siasatan berhubung insiden berkenaan masih diteruskan.

 

Scroll to Top