Lima pengasuh dera kanak-kanak, sumbat dalam mesin basuh

Lima pengasuh dera kanak-kanak, sumbat dalam mesin basuh

BENGALURU – Lima pengasuh sebuah pusat jagaan harian berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa mendera kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun dengan memasukkan mereka ke dalam mesin basuh, mengurung di dalam bilik air dan menyembur air ke mulut mangsa.

Menurut laporan NDTV, kejadian itu berlaku di sebuah pusat jagaan harian yang beroperasi di dalam kampus HAL milik syarikat teknologi maklumat, Capgemini.

Polis berkata, kanak-kanak terbabit dipaksa duduk di dalam dram mesin basuh muatan hadapan sebelum air disembur ke dalam mulut mereka menggunakan penyembur jet tandas.

Mereka turut dikurung dalam bilik air sebagai hukuman bagi mendiamkan mereka apabila menangis.

Rakaman video yang didakwa memaparkan insiden penderaan itu kemudiannya tular di media sosial sehingga membawa kepada laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Negeri Karnataka bagi Perlindungan Hak Kanak-Kanak.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan terhadap lima pengasuh yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Insiden tersebut mencetuskan kemarahan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan itu ketika bekerja di kampus syarikat berkenaan.

Kes itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan pemantauan pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi di dalam premis korporat.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti semua pihak yang bertanggungjawab.

Scroll to Top