Lori terbabas ke laluan bertentangan dipercayai punca nahas korban 3 nyawa

Lori terbabas ke laluan bertentangan dipercayai punca nahas korban 3 nyawa

mhafis@mediaprima.com.my

Bentong: Polis mengesahkan tiga orang yang maut dalam kemalangan Kilometer 50.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini, dipercayai berpunca daripada lori hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian pada 5.25 petang.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati ketika kejadian, lori tiga tan dari arah Kuantan menghala Kuala Lumpur, dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan itu kemudian merempuh empat kenderaan lain di laluan berkenaan.

“Akibatnya, seramai tiga mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan dikenali Wong Kean Yeap berusia 29 tahun; Wong Hwee Moon berusia 34 tahun dan Lee Lai Cheng berusia 61 tahun yang menaiki kereta Honda Accord maut dunia di tempat kejadian.

“Tiga lagi penumpang kereta iaitu lelaki berusia 33 tahun dan dua kanak-kanak lima tahun dan tiga tahun, selain kelindan lori mengalami kecederaan.

“Mereka dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana pihak yang melihat kejadian itu (mempunyai maklumat) diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top