mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis membuka tiga kertas siasatan berkaitan kes kekecohan penyitaan barangan penjaja belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sehingga hari ini, sebanyak tiga laporan polis diterima berkaitan kes itu.
Menurutnya, laporan polis pertama dibuat anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 11.48 pagi semalam dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas.
Katanya, laporan kedua diterima pada 3.34 petang hari sama oleh anggota penguat kuasa DBKL atas penyebaran gambarnya yang dimuat naik di aplikasi Facebook berserta ugutan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan/ Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Manakala bagi laporan polis ketiga yang diterima pada 12.04 tengah malam tadi, dibuat oleh ibu kepada mangsa (penjual belon) menyatakan bahawa mangsa cedera akibat pergelutan dan kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan di Serdang, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
“Justeru, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat disarankan untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.
Nenek penjaja belon sedih cucunya cedera, tak dapat beraya
© New Straits Times Press (M) Bhd




