LRA Tualang 2, penuhi permintaan 5,000 pengguna di Kuala Krai

LRA Tualang 2, penuhi permintaan 5,000 pengguna di Kuala Krai

KUALA KRAI: Loji Rawatan Air (LRA) Tualang 2 Kampung Batu Lada di sini, yang menelan belanja sebanyak RM49 juta mampu memenuhi permintaan air bersih kepada 5,000 pengguna di tujuh buah kampung utama di sekitar jajahan ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek yang melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu mampu membekalkan air untuk kegunaan penduduk dengan kapasiti 20 juta liter sehari (JLH).

Menurutnya, antara kawasan yang akan menerima manfaat ialah Bandar Kuala Krai dan kawasan sekitar termasuk Kampung Guchil, Kampung Sungai Durian, Taman KK Height, Kampung Sedek, Kampung Tualang, Taman Kuala Krai serta Kampung Batu Lada.

“Sebelum ini, Bandar Kuala Krai dan kawasan berkenaan menerima air terawat dari LRA Tualang Lama dan LRA Pahi.

“Namun, setelah LRA Tualang 2 ini beroperasi, ‘reserve margin’ bekalan air terawat di jajahan Kuala Krai mencecah 20 peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian LRA Tualang 2 di sini hari ini.

Ahmad memberitahu, projek yang dimulakan pada 27 Oktober 2017 itu diambil alih Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSAB) pada 30 November 2020.

Katanya, proses rawatan air di LRA Tualang 2 ini akan melalui empat aktiviti utama iaitu sumber air mentah dari telaga jejari, pengoksidaan bertekanan tinggi (special aerator nozzle), rawatan air melalui Sistem Chemilles dan air terawat disalurkan ke tangki Bukit Lada sebelum diagihkan kepada pengguna.

“Pembinaan LRA ini melibatkan beberapa skop utama iaitu dua buah telaga jejari dengan kapasiti 10 JLH setiap satu serta sebuah LRA dengan kaspiti 20 JLH. Selain itu, LRA ini juga dilengkapi paip air mentah bergaris pusat 400 milimeter (mm) dan paip air terawat bergaris pusat 450 mm,” jelasnya. – UTUSAN