Mak Wan mengaku tidak bersalah ludah bekas pembantu peribadi

TAIPING: Pelakon veteran, Mak Wan Latah dihadapkan ke Mahkamah Majistret sini hari ini atas pertuduhan meludah bekas pembantu peribadinya dalam kejadian di Batu Kurau, bulan lalu.

Mak Wan atau nama sebenarnya Halimatussa’diah Mohd. Daud, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur’Atiqah Sapari.

Mengikut pertuduhan, Mak Wan dengan sengaja meludah Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di Lorong Haji Wahab, Kampung Titi Kasai Batu Kurau pada pukul 7 petang, 24 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh diwakili peguam, T. Selvadoray daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, Thean Heng menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun Selvadoray memohon jumlah jaminan minimum dikenakan ekoran anak guamnya itu merupakan ibu tunggal dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Majistret Nur’Atiqah membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 5 September ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Konflik peribadi melibatkan pelakon drama 7 Hari Mencintaimu 3 dengan bekas pembantu peribadinya dikenali Amell itu mendapat perhatian umum sejak Jun lalu ekoran pendedahan wanita itu menerusi beberapa video tentang Mak Wan di akaun TikToknya. – UTUSAN