KLANG – Tambang perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan kepada semua penumpang bermula esok (Isnin) 29 Jun hingga 31 Julai ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata tambang percuma itu turut diberikan bagi perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sepanjang Laluan Shah Alam.
“Bermula 29 Jun iaitu esok hingga 31 Julai tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara sepanjang Laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama sebulan.
“Tapi kenapa agaknya laluan ini? Kerana laluan ini yang paling sesak, antara yang
paling sesak dalam negara kita. Kemudian bila sesak, maknanya satu bebanan yang
besar bagi rakyat.” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menaiki tren LRT3 dari stesen Seri Andalas ke stesen Johan Setia yang mengambil masa perjalanan kira-kira 15 minit sebelum menyempurnakan majlis pelancarannya.
Turut serta ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain itu, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Tan Sri Mohd Nasir Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Amir Hamdan turut hadir.
Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang melibatkan pelaburan sebanyak RM16.63 bilion itu merupakan antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.
Sebelum ini, Prasarana memaklumkan Laluan Shah Alam turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian melibatkan 13 laluan khusus, dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.
Di samping itu, perkhidmatan Rapid On-Demand turut disediakan melibatkan 44 buah van di 20 zon dengan bayaran RM2, bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.
Kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) juga disediakan di kesemua stesen antaranya laluan landai (ramps) untuk pengguna berkerusi roda, tandas mesra OKU serta tempat duduk khas untuk pengguna OKU di setiap gerabak. – Bernama



