ISTANBUL – Lubnan akan menyertai rundingan dengan Israel melalui satu delegasi tunggal yang diketuai oleh Simon Karam, bekas duta ke Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Rundingan dengan Tel Aviv “adalah berasingan daripada sebarang rundingan lain,” kata Aoun dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Agensi Berita Nasional milik kerajaan.
Beliau berkata, rundingan itu bertujuan untuk “menghentikan permusuhan, menamatkan pendudukan Israel di kawasan selatan, dan mengerahkan tentera sehingga ke sempadan selatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.”
“Lubnan berhadapan dengan dua pilihan: sama ada meneruskan peperangan atau berunding untuk menamatkan perang ini dan mencapai kestabilan yang mampan,” kata Aoun.
Sejak 2 Mac, Israel telah melancarkan serangan di Lubnan yang mengorbankan kira-kira 2,300 orang, mencederakan lebih 7,500 yang lain dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut angka rasmi.
Presiden AS, Donald Trump mengumumkan gencatan senjata sementara selama 10 hari antara Israel dan Lubnan bermula tengah malam Jumaat lepas. – Bernama-Anadolu



