Poissy (Perancis): Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique mengakui saingan Liga Perancis musim ini lebih sengit selepas Lens muncul pencabar utama, namun menegaskan pasukannya masih menjadi pasukan terbaik Ligue 1.
Jurulatih Sepanyol itu berkata, beliau menyukai tekanan yang diberikan oleh Lens dan percaya cabaran itu akan mendorong PSG untuk terus membuktikan kualiti sebenar di atas padang.
“Ia jelas, hanya ada Lens dan kami. Saya suka tekanan. Jika mereka mahu memberi tekanan kepada kami, saya suka perkara itu. Kami sudah biasa dengannya,” kata Luis Enrique pada sidang media menjelang pertemuan menentang Strasbourg esok.
Lens kini berada di tangga teratas liga dengan kelebihan satu mata selepas menewaskan Le Havre 1-0, tetapi PSG berpeluang kembali ke puncak sekiranya berjaya menundukkan Strasbourg pada aksi awal pagi esok.
PSG, yang menjuarai Ligue 1 dengan kelebihan 19 mata musim lalu untuk gelaran keempat berturut-turut, kini berhadapan realiti baru dengan kebangkitan Lens sebagai pencabar serius.
Luis Enrique menekankan walaupun pasukannya dianggap terbaik, PSG tetap perlu membuktikannya di atas padang dan tidak boleh mengharapkan kemenangan besar seperti musim lalu.
“Anda fikir kami perlu menang setiap perlawanan 3-0 atau 5-0 seperti musim lalu, tetapi itu tidak normal. Jangkaan kini lebih tinggi dan kami mahu mencipta sejarah, namun ia tidak mudah,” katanya.
PSG bakal beraksi tanpa Fabian Ruiz yang mengalami kecederaan lutut serta Khvicha Kvaratskhelia akibat terseliuh buku lali. Pasukan juga berdepan isu kecederaan sepanjang musim ini, namun Luis Enrique menegaskan pemainnya tidak mengalami keletihan dan masih mempunyai kecairan permainan yang sama.
Pengendali itu turut menekankan kepentingan persiapan menjelang aksi padat termasuk play-off Liga Juara-Juara Eropah menentang Monaco, di mana beliau yakin pasukannya mampu menghadapi cabaran dan membuktikan kualiti sebenar PSG.
© New Straits Times Press (M) Bhd




