Luluh hati lihat jasad anak tidak bernyawa

Luluh hati lihat jasad anak tidak bernyawa

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Luluh hati seorang bapa apabila menemukan anak lelakinya meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik di atas bot di muara Sungai Marang di Kampung Seberang Marang, Marang hari ini.

Mayat, Muhammad Zai Hisham Zaidir, 25, ditemukan bapanya, Zaidir Zahib, 51, kira-kira 8.30 pagi.

Menurut Zaidir, dia bersama anaknya sebelum itu bersama-sama membaiki bot milik mereka, namun mangsa memintanya pulang ke rumah kira-kira 2 pagi.

Katanya, dia yang tiba lokasi kejadian kira-kira 8.30 pagi tadi untuk menyambung kerja pembaikian bot yang mengalami kerosakan pada bahagian kipas itu terkejut selepas melihat anak kedua daripada lima beradik itu sudah tidak bernyawa dipercayai terkena renjatan elektrik.

“Bila saya sampai, saya nampak anak sudah keras kaku manakala arus elektrik masih terasa di atas bot.

“Saya syak dia menyentuh suis lampu dalam keadaan basah selepas turun ke sungai kerana saya juga pernah membuat kerja pembaikan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, hari ini.

Jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Menerong, Hulu Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Razman Setapa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HSNZ Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top