Lulus LKP tanpa penuhi syarat : 3 lagi ditahan

Lulus LKP tanpa penuhi syarat : 3 lagi ditahan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi kakitangan dan seorang bekas kakitangan agensi sebuah kementerian dipercayai terbabit amalan rasuah dalam mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat ditetapkan.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek membabitkan dua wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Syazly Md Sain selepas permohonan dibuat SPRM, hari ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan antara jam 3.30 hingga 5 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi dirakamkan keterangan untuk membantu berhubung siasatan kes.

“Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek itu adalah susulan operasi dijalankan Bahagian Perisikan SPRM menerusi Op Loader pada Rabu lalu yang mana seramai lapan individu termasuk empat pengarah syarikat dan seorang pengarah agensi sebuah kementerian ditahan.

“Bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP berkenaan, pegawai agensi itu dipercayai bersekongkol dengan syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom,” katanya.

Katanya, berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kenderaan dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek membabitkan dua wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an selama empat hari sehingga 14 Januari 2024 dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Syazly Md Sain selepas permohonan dibuat SPRM hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top