Lumba cara selamat dalam SBK Fighter 2.0

Lumba cara selamat dalam SBK Fighter 2.0

lizamridzuan@hmetro.com.my

FESTIVAL permotoran SBK Fighter 2.0 melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama dua hari di Gong Badak baru-baru ini lalu dengan menghimpunkan ribuan peminat motosikal berkuasa tinggi dari seluruh negara.

Program itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran motosikal, perlumbaan drag, jualan produk automotif serta perhimpunan komuniti penunggang.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, YB Ustaz Sulaiman Sulong. Penganjuran acara itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan, penaja, rakan media dan komuniti permotoran.

Pengarah Program merangkap Presiden Kelab Sukan Bermotor Full Throttle, Ahmad Sholihin Dollah berkata, sambutan diterima sepanjang dua hari penganjuran membuktikan minat masyarakat terhadap aktiviti permotoran yang dijalankan secara tersusun dan selamat.

Menurut beliau, kejayaan program itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk penaja utama ZNEXLAB IGOL, Kash Motor, StyloMoto dan Helmet Nelang, selain sokongan agensi kerajaan, sukarelawan, vendor serta para peserta dan pengunjung.

Kelab CBR Klang Valley (CBR KV) turut memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam penganjuran kali ini. Presidennya, Mohd Shaiful Osman Taad atau lebih dikenali sebagai Jebat Viking, berkata acara seperti SBK Fighter menyediakan platform kepada penunggang untuk berkongsi pengalaman, memperkukuhkan hubungan antara komuniti serta meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Dalam masa sama, suasana program turut diselubungi rasa sedih apabila komuniti permotoran kehilangan bekas ahli CBR Klang Valley, Allahyarhamah Rosazheila Aziz Shamsudin atau Musalmah Melur, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke penginapan di Dungun.

Acara kemuncak festival menyaksikan perlumbaan SBK Fighter 2.0 Drag Race melibatkan kategori SBK 1000cc Super Street dan SBK 1000cc Pro Street.

Bagi kategori Super Street, Muhamad Irsyad Mohd Bakri muncul juara, diikuti Pragash Ramalinggam di tempat kedua dan Muhamad Alias Khamis di tempat ketiga.

Bagi kategori SBK 1000cc Pro Street pula, Bronze Kow Jia Hui muncul juara, manakala Muhammad Hanafi Asmawi meraih tempat kedua dan Pragash Ramalinggam melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Festival itu turut menyaksikan cabutan bertuah hadiah utama berupa sebuah Ducati Panigale dimenangi Ahmad Fakhrul Razi Ali, 39, dari Kampung Kebor Besar, Manir, Kuala Terengganu. Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai rezeki yang tidak dijangka.

Secara keseluruhannya, SBK Fighter 2.0 berjaya menghimpunkan komuniti motosikal berkuasa tinggi dalam satu platform yang menggabungkan aktiviti rekreasi, pertandingan dan jaringan komuniti.

Penganjur berharap penganjuran pada masa hadapan dapat terus menyumbang kepada pembangunan budaya permotoran yang lebih selamat dan bertanggungjawab di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top