Lupa beri makan ‘lembu’ punca YB main permainan video ketika mesyuarat

Lupa beri makan ‘lembu’ punca YB main permainan video ketika mesyuarat
Lupa beri makan ‘lembu’ punca YB main permainan video ketika mesyuarat

Achmad Syahri dipercayai sedang main permainan video ketika menghadiri mesyuarat tular di media sosial.-Agensi

JAKARTA – Seorang wakil rakyat di Jember, Indonesia memberi alasan terlupa memberi makan lembu dalam permainan video sebagai punca beliau bermain permainan itu ketika mesyuarat rasmi berlangsung.

Wakil rakyat Parti Gerindra, Achmad Syahri As Siddiqi sebelum ini tular di media sosial selepas dirakam bermain permainan video sambil merokok ketika sidang Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jember berlangsung.

Tindakannya itu mengundang kecaman ramai dan membawa kepada tindakan disiplin oleh partinya.

Ketua kumpulan Parti Gerindra di DPRD Jember, Hanan Kukuh Ratmono berkata, Syahri menjelaskan beliau sedang bermain permainan simulasi pertanian dan terlupa memberi makan ‘lembu-lembu’ dalam permainan tersebut.

“Saya sempat bertanya sebab beliau bermain permainan video dan katanya dia terlupa memberi makan lembu dalam permainan pertanian itu,” katanya selepas mesyuarat parti pada Isnin.

Menurut Hanan, parti telah mengambil tindakan dalaman terhadap Syahri yang turut dipanggil menghadiri sidang etika oleh Majlis Kehormatan Parti Gerindra di Jakarta minggu lalu.

Beliau berkata hasil sidang tersebut menyaksikan Syahri dikenakan amaran keras dan terakhir oleh parti.

Katanya, sekiranya wakil rakyat itu mengulangi kesalahan sama, tindakan lebih tegas termasuk pemecatan boleh dikenakan.

“Jika berlaku lagi kesalahan serupa, beliau boleh diberhentikan sebagai anggota DPRD Jember,” katanya.

Beliau turut menegaskan tindakan disiplin bukan hanya dikenakan terhadap Syahri, malah akan dikenakan kepada semua wakil rakyat Parti Gerindra sekiranya melakukan pelanggaran sama.

Syahri bagaimanapun tidak menghadiri dua sidang dewan pada Isnin dan memaklumkan beliau kurang sihat.

Sebelum ini, Syahri mengakui menyesal atas tindakannya bermain permainan video dan merokok ketika mesyuarat rasmi yang membincangkan isu kesihatan.

Beliau turut memohon maaf dan mendakwa kejadian itu kali pertama berlaku.

“Saya benar-benar menyesal dan tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.-Agensi

Scroll to Top