Lupus 1.2 tan mushaf al-Quran lama dengan cara betul menerusi Ihya' Mushaf

Lupus 1.2 tan mushaf al-Quran lama dengan cara betul menerusi Ihya' Mushaf

yusmizal@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Sejumlah 1.2 tan mushaf Al-Quran dan buku agama uzur berjaya dikutip menerusi program Ihya’ Mushaf.

Ia adalah inisiatif pendidikan dan khidmat komuniti berteraskan pelupusan al-Quran rosak mengikut tatacara sahih serta mematuhi garis panduan syariah.

Program yang diadakan di Masjid Saujana Utama di sini hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada jemaah masjid dan penduduk setempat, mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang tinggi terhadap kepentingan memelihara kesucian bahan bercetak agama secara beradab dan bertanggungjawab.

Pengarah Projek, Putri Nur Izzati Yazit, berkata sasaran awal program hanyalah 300 kilogram, namun sambutan luar jangkaan daripada masyarakat setempat.

Ia dianjurkan pelajar Semester Tujuh, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Antara Personal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam..

Katanya inisiatif berkenaan dirangka bagi membantu masyarakat memahami kaedah pelupusan mushaf Al-Quran yang betul dan sah, memandangkan bahan bercetak ayat suci berisiko rosak akibat faktor usia, bencana alam, serangga atau penyimpanan yang tidak sesuai.

“Program ini bukan sahaja menyediakan saluran pelupusan yang teratur, malah menjadi platform pembelajaran berimpak tinggi kepada pelajar dalam membangunkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi. Penduduk setempat turut menyambut baik pelaksanaannya dan berharap agar program ini diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Penasihat Program, Norhayati Baba, berkata ia penganjuran kali ketiga oleh pelajar e-Pembelajaran Jarak Jauh (e-PJJ) dan kali kedua dilaksanakan bersama Masjid Saujana Utama, selepas penganjuran terdahulu melibatkan pelajar sepenuh masa dan separuh masa.

Menurut beliau, kejayaan program itu mencerminkan keupayaan pelajar mengurus projek komuniti sebenar secara profesional, termasuk aspek perancangan, hebahan, pengurusan logistik serta kerjasama strategik dengan pihak masjid dan rakan industri.

Noor Hayati berkata, kelainan penganjuran kali ini ialah kerjasama strategik bersama sebuah syarikat, yang mengendalikan proses pelupusan menggunakan teknologi pemisahan dakwat sebelum mushaf dilupuskan, bagi memastikan kandungan bertulis dinyahaktif mengikut tatacara yang dibenarkan syarak.

“Bagi tujuan pengurusan dan pelupusan yang mematuhi garis panduan ditetapkan, kos RM5 bagi setiap kilogram dikenakan bagi menampung keseluruhan proses pengendalian sehingga pelupusan,” katanya .

Beliau berkata, pihaknya berharap program itu dapat terus dijadikan platform pendidikan dan khidmat komuniti yang memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi, masjid dan masyarakat setempat, dalam usaha memelihara kesucian al-Quran secara beradab dan bertanggungjawab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top