Macam tapak lupus sampah

Macam tapak lupus sampah

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sekali pandang tidak ubah seperti tapak pelupusan sampah.

Itu keadaan sebuah rumah dihuni seorang lelaki warga emas di Permas Jaya, di sini, yang dipenuhi dua tan sampah termasuk sisa makanan, timbunan plastik, kotak dan tin.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Baru Permas Jaya A, Habib Syed Sallilah Aasad berkata, sudah menjadi tabiat warga emas itu mengutip dan mengumpul sampah di dalam dan pekarangan rumahnya.

Menurutnya, semua sampah itu bukanlah untuk dijual sebagai barangan kitar semula

“Lebih mengecewakan perbuatannya itu menjejaskan keselesaan jiran berhampiran yang terpaksa sentiasa menutup pintu dan tingkap kerana tidak tahan dengan bau busuk dan nyamuk.

“Malah jiran berhampiran mengadu, bau busuk dari rumah warga emas itu boleh dihidu dari jarak 200 meter.

“Apa yang menjadi masalah, lelaki itu bersikap keras kepala ketika kediamannya mahu dibersihkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mahupun SWCorp.

“Malah apabila ditegur jiran, lelaki itu juga naik angin hingga dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan,” katanya.

Menurutnya, saya cuba memujuk lelaki itu untuk menjual barangan dikumpul terutama kotak dan menyatakan kesediaan membantunya.

“Namun selepas diberikan tempoh dan ruang untuk membersihkan rumahnya, lelaki itu masih gagal memberi kerjasama sebelum SWM Environment menjalankan kerja pembersihan,” katanya.

Habib berkata, menerusi tindakan dilakukan pada 18 April lalu, seramai lima pekerja SWM Environment mengutip 2.2 tan sampah dari kediaman lelaki itu menggunakan jentolak dan sebuah lori roll-on roll-off (Roro) 16 tan.

Menurutnya, penduduk berterima kasih kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), SWCorp mahupun SWM atas usaha membersihkan kediaman warga emas itu.

“Kami mengenal pasti beberapa lagi rumah di kawasan ini yang turut dijadikan tempat pengumpulan sampah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd