MADA lancar aplikas MADA i-Banci

MADA lancar aplikas MADA i-Banci

SERDANG: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melancarkan Sistem Aplikasi MADA i-Banci Pesawah bagi melaksanakan proses bancian ke atas lebih 57,000 pengusaha sawah di 27 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di kawasan Muda.

Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, aplikasi berkenaan dihasilkan nenerusi jalinan kerjasama antara MADA dengan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau berkata, aplikasi bancian MADA membantu proses bancian secara atas talian, meningkatkan produktiviti pengurusan subsidi dengan lebih efektif dan memudahkan akses rekod penanaman padi.

“Sistem ini berpotensi untuk membantu menambah baik proses pengurusan pesawah bagi keseluruhan 27 PPK di Kawasan Muda.

“Saya yakin pengusaha bersetuju menggunakan cara bancian melalui sistem aplikasi Banci MADA,” katanya ketika melancarkan aplikasi itu sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022, kelmarin.

Menurutnya, selain memaparkan maklumat bancian dan pembajak dengan jelas, pengusaha juga boleh memilih pembajak, memesan baja, mengesahkan bancian dan melakukan proses pembayaran dengan cepat dan sempurna.

Ahmad Tarmizi berkata, sebelum ini, proses bancian padi mengambil masa selama hampir sebulan khususnya bagi merekodkan kuantiti bantuan subsidi agar dapat diketahui dan pesanan boleh dibuat.

Menurutnya, jika proses bancian ini lewat diselesaikan, maka, bantuan subsidi juga akan lewat diagihkan kepada pengusaha sawah.

“Di samping itu, kos penggunaan bahan seperti kertas sewaktu proses bancian, pesanan subsidi baja dan proses agihan dianggarkan menelan perbelanjaan sekitar lingkungan RM100 ribu setahun.

“Boleh dikatakan hampir setiap tahun akan berlakunya kerumitan pengurusan yang melibatkan kakitangan PPK dan pengusaha sawah terutamanya dalam kalangan warga tua bagi menyelesaikan proses bancian dan subsidi baja dan racun,” katanya.

Katanya, kaedah bancian lama juga menyebabkan pengusaha sawah perlu hadir dan menunggu bagi mendapatkan pengesahan ke atas proses semakan permohonan subsidi kerana ia dilakukan secara manual menggunakan buku padi.

Jelasnya, keadaan menjadi bertambah rumit kepada kakitangan PPK untuk memastikan sama ada setiap subsidi yang diberi digunakan dengan jalan yang betul.

Tambah Ahmad Tarmizi, beliau dapat simpulkan bahawa kaedah bancian secara manual menyebabkan pengurusan dan pengesahan bancian mengambil masa yang agak lama.

“Selain kos penggunaan kertas yang tinggi juga, rekod maklumat ke atas status bancian sawah sukar diakses tanpa merujuk kepada pihak PPK,” katanya. – UTUSAN