Paris: Tottenham Hotspur melengkapkan pembelian pemain tengah kreatif, James Maddison daripada Leicester dengan perjanjian bernilai £40 juta (RM236 juta) bersama nilai tambahan.
Pemain antarabangsa England berusia 26 tahun itu menandatangani perjanjian selama lima tahun.
Maddison memulakan kerjayanya dengan Coventry City sebelum menyertai Norwich City pada Januari 2016.
Dia kemudiannya berpindah ke Leicester pada 2018 dan dalam lima musim membuat 203 penampilan dengan menjaringkan 55 gol dan membantu memenangi kelab yang diturunkan pangkat ke Liga Kejuaraan itu meraih trofi Piala FA.
Dia menjaringkan 10 gol musim lalu dan mempunyai tiga penampilan bersama England.
Kreativiti Maddison akan meningkatkan skuad Spurs yang tidak mempunyai pemain seperti itu sejak Christian Eriksen meninggalkan pasukan pada 2020.
Dia adalah pemain ketiga yang dibawa masuk kelab berkenaan selepas Dejan Kulusevski dari Juventus dan penjaga gol, Guglielmo Vicario (Empoli).
Sementara itu, spekulasi terus berkisar mengenai penyerang bintang Tottenham Harry Kane yang memasuki tahun terakhir kontraknya.
Bayern Munich bersetuju dengan terma peribadi kapten England itu, lapor akhbar harian Jerman Bild tetapi tawaran awal €70 juta (RM356 juta) ditolak Tottenham.
Kem Kane dipercayai meluluskan perpindahan itu, tetapi Bayern memerlukan persetujuan mengenai bayaran dengan Tottenham untuk melengkapkan pembelian berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
