New York: New York akan menjadi tumpuan penuh dunia bola sepak, Isnin ini apabila perlawanan akhir Piala Dunia berlangsung, namun venue bagi aksi kemuncak kejohanan 2030 mungkin menjadi subjek pertelingkahan diplomatik dan politik yang sengit.
Maghribi, Portugal dan Sepanyol akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030, namun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih belum mengumumkan lokasi perlawanan akhir.
Sepanyol menegaskan mereka akan menjadi tuan rumah aksi final itu, tetapi Maghribi sedang membina stadium baharu bernilai AS$12 bilion (kira-kira RM34 bilion) dengan kapasiti 115,000 tempat duduk di luar Casablanca yang diharapkan menjadi lokasi penentuan juara Piala Dunia 2030, sekali gus mencetuskan persaingan untuk mendapatkan penghormatan itu dalam koridor kuasa bola sepak.
Stadium Hassan II dijangka menjadi stadium terbesar dalam dunia bola sepak, dengan pembinaan dijangka siap menjelang akhir tahun depan dan ia bersaing dengan dua venue berpotensi di Sepanyol.
Stadium Santiago Bernabeu di Madrid, yang berkapasiti 83,000 tempat duduk selepas kerja pengubahsuaian selesai pada penghujung 2024 atau Camp Nou di Barcelona yang dibuka semula sebahagiannya ketika kerja naik taraf sedang dijalankan yang akan meningkatkan kapasiti kepada 105,000 tempat duduk menjadi dua pilihan Sepanyol.
Langkah awal dalam usaha melobi dimulakan pada Januari lalu oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Rafael Louzan apabila beliau menegaskan Sepanyol akan menjadi tuan rumah final dan menggunakan kekecohan ketika final Piala Negara-Negara Afrika di Maghribi untuk meraih kelebihan.
“Sepanyol mempunyai kemampuan penganjuran yang terbukti selama bertahun-tahun, oleh itu Sepanyol akan menjadi negara utama dalam Piala Dunia 2030 itu serta tempat final kejohanan akan berlangsung,” katanya.
“Maghribi sememangnya sedang melalui proses transformasi, itu benar, tetapi beberapa insiden dalam beberapa perlawanan di Piala Negara-Negara Afrika bukan sahaja menjejaskan kejohanan itu, malah turut menjejaskan imej bola sepak dunia,” tambah Louzan.
Berlaku keganasan penyokong, tindakan kurang sopan daripada pengutip bola serta insiden pemain meninggalkan padang seketika apabila Senegal menewaskan Maghribi dalam Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Prince Moulay Abdallah, Rabat yang baru siap dengan kapasiti 69,500 tempat duduk.
Presiden berpengaruh Persekutuan Bolasepak Maghribi, Fouzi Lekjaa tidak memberikan reaksi terhadap kenyataan itu, sebaliknya memberitahu media baru-baru ini: “Tiada keputusan dibuat setakat ini mengenai pengagihan perlawanan. Pilihan ini dibuat secara eksklusif melalui rundingan antara tiga negara tuan rumah dan FIFA.”
Namun, sumber dalam hierarki bola sepak Afrika mengesahkan bahawa Maghribi sedang melakukan usaha besar di belakang tabir untuk memastikan final berlangsung di Casablanca dan menjangkakan persaingan antara pihak yang berkepentingan akan menjadi semakin hangat.
Jika Casablanca dipilih, ia akan menjadi bandar kedua di Afrika yang menjadi tuan rumah final Piala Dunia selepas Johannesburg pada 2010, ketika Sepanyol memenangi satu-satunya gelaran Piala Dunia mereka setakat ini.
Ketika Sepanyol menjadi tuan rumah Piala Dunia 1982, perlawanan akhir berlangsung di Santiago Bernabeu dengan Itali menewaskan Jerman Barat 3-1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




