Nyawa anggota jadi keutamaan, bomba tangguh masuk kawasan rumah kedai runtuh

Nyawa anggota jadi keutamaan, bomba tangguh masuk kawasan rumah kedai runtuh

am@hmetro.com.my

Melaka: Keadaan struktur bangunan yang masih tidak stabil memaksa bomba mengambil langkah berhati-hati sebelum memasuki kawasan runtuhan rumah kedai dua tingkat di Taman Kota Laksamana di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Jalan Kubu, K Karuppannan berkata, pihaknya kini masih menunggu pengesahan pemilik bangunan bagi memastikan sama ada terdapat pekerja yang terperangkap dalam kejadian berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan.

Menurutnya, difahamkan polis sudah menghubungi pemilik premis dan individu itu sedang dalam perjalanan ke lokasi bersama beberapa pekerjanya bagi membantu proses pengesahan.

Katanya, apabila pasukan tiba di lokasi tadi, mereka mendapati bangunan berkenaan sudah runtuh sepenuhnya.

“Namun, kita masih belum menerima maklumat lengkap sama ada terdapat mangsa yang terperangkap atau sebaliknya.

“Pemilik memaklumkan semua pekerja telah keluar, tetapi kita perlu mendapatkan pengesahan daripada pekerja yang berada di lokasi ketika kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Laksamana di sini hari ini.

Jelasnya, sebelum kejadian, pemilik memaklumkan terdapat empat pekerja yang menjalankan kerja ubah suai di premis berkenaan.

Katanya, pemilik bangunan berada di Kuala Lumpur ketika kejadian dan pihaknya perlu menunggu kehadiran pekerja terbabit untuk mengesahkan semua individu selamat.

“Selepas pengesahan dibuat, pihak bomba bersama polis akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan maklumat yang diperoleh.

“Sekiranya disahkan tiada mangsa terperangkap, operasi SAR tidak akan diteruskan.

“Kerja pembersihan akan diserahkan kepada pemilik bangunan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), ” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak risiko runtuhan susulan kerana bahagian hadapan dan belakang bangunan sudah runtuh selain terdapat bunyi struktur yang masih tidak stabil.

Katanya, faktor keselamatan anggota menjadi keutamaan kerana keadaan struktur bangunan masih berisiko mengalami runtuhan susulan.

“Kita tidak mahu mempertaruhkan keselamatan anggota.

“Buat masa ini, kita menunggu pengesahan daripada pemilik dan pekerja sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Karuppannan berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta penilaian risiko.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top