am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengarahkan dua kontraktor utama projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melaksanakan tindakan pembetulan segera susulan gangguan perkhidmatan tren itu, baru-baru ini.
MAHB dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sudah menyuarakan kebimbangan kepada kontraktor Alstom dan usaha sama IJMC-PESTECH (IPJV) susulan insiden itu.
“Berdasarkan insiden Aerotrain baru-baru ini, Malaysia Airports sudah secara rasmi menegur kontraktor Alstom dan usaha sama IJMC-PESTECH (IPJV) serta menuntut tindakan pembetulan segera.
“Penilaian awal yang dijalankan menunjukkan trend penurunan dalam kebolehpercayaan sistem, khususnya yang membabitkan kenderaan dan sistem pengagihan kuasa,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, walaupun MAHB menerima data dan jaminan daripada kontraktor, maklumat yang diberikan belum meyakinkan mengenai tahap kebolehpercayaan semasa sistem Aerotrain.
“Walaupun menerima data dan jaminan daripada kontraktor, maklumat yang diberikan belum menimbulkan keyakinan mencukupi terhadap kebolehpercayaan semasa sistem Aerotrain,” katanya.
Susulan itu, MAHB memutuskan untuk melaksanakan pelan tindakan menyeluruh yang diketuai oleh Pasukan Projek MAHB dengan pembabitan penuh kontraktor, perunding projek serta kerjasama penilai teknikal bebas.
“Pelan menyeluruh ini sedang dibangunkan dengan penyertaan aktif semua pihak berkaitan. Malaysia Airports akan terus bekerjasama rapat dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menangani serta menyelesaikan isu berkenaan.
“Sebagai langkah awal, perkhidmatan bas ulang-alik penuh akan beroperasi pada waktu luar puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi setiap hari bagi membolehkan kerja pemeriksaan dan pembetulan dijalankan,” katanya.
Selain itu, katanya dari jam 5 pagi hingga 11 malam setiap hari, perkhidmatan bas ulang-alik tambahan akan bergerak seiring dengan operasi Aerotrain bagi memastikan pergerakan penumpang tidak terganggu.
“Malaysia Airports bersedia untuk menggerakkan sumber yang mencukupi bagi menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik sepenuhnya mengikut keperluan pelan tindakan menyeluruh itu,” katanya.
Sejak Aerotrain disambung semula pada Julai 2025, sistem itu membawa lebih 6.55 juta penumpang dan mencatat hampir 95,000 perjalanan.
“Kami kekal komited untuk memulihkan keyakinan terhadap sistem Aerotrain. Keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan, dan Malaysia Airports berikrar mengekalkan piawaian operasi tertinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




