syafil.syazwan@hmetro.com.my
Menyusur kembali perjalanan kerjaya seni yang mencecah usia 34 tahun, nama Datuk Yusry Abdul Halim bukanlah satu nama asing dalam persada seni tanah air.
Daripada gelombang kegemilangan bersama kumpulan fenomena KRU sehinggalah penerbitan filem dan drama, figura ini terus membuktikan bahawa namanya masih relevan.
Terbaharu, penyanyi dan pengarah berusia 53 tahun ini melangkah berani menerusi pelancaran album solo terbaharunya bertajuk Eternal.
Ditemui pada acara Eternal Gala Night Yusry, dia mengakui perasaan gembira dan seronok bercampur baur apabila impian yang dipendam sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.
Langkah solonya kali ini bukan sekadar mengubat rindu peminat, sebaliknya menjadi platform untuknya keluar daripada ‘kotak’ muzik pop yang mengikat dirinya sejak puluhan tahun lalu.
“Perasaan saya bercampur baur. Sejujurnya, jika dalam KRU, banyak benda yang saya tak boleh buat dari segi demonstrasi muzik yang saya nak persembahkan.
“Apabila kita dalam kumpulan, ia mestilah keputusan bersama dan konsepnya berbeza-beza. Kalau saya buat konsep yang sama macam KRU, apa gunanya? Baik saya buat sahaja dengan KRU.
“Jadi, saya rasa peminat boleh sedar dan menghargai hakikat bahawa saya buat sesuatu yang berbeza demi menghormati KRU. Idea utamanya mencari pasaran baharu, genre baharu dan gaya
zbaharu,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai permulaan projek berkenaan, Yusry mendedahkan ilham menghasilkan album solo hadir secara tidak sengaja sewaktu menghadiri persembahan sambutan Tahun Baharu di Sarawak.
“Saya tak rancang pun. Sejujurnya, ini berlaku semasa sambutan Tahun Baharu di Sarawak apabila kami tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Pihak Sony Music bertanya sama ada saya mahu buat album solo atau tidak.
“Sejujurnya, tak pernah terlintas pun dalam fikiran saya sebelum ini. Tapi orang kata rezeki tak salah alamat dan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Menerusi Eternal, Yusry memilih untuk menyuntik nuansa rock dan blues yang menjadi jiwa sebenarnya.
Malah, dia turut mencabar kemampuan vokalnya menerusi trek-trek yang memerlukan gaya nyanyian lebih serak dan kasar.
“Untuk lagu Jiwa & Raga dan Hancur Kecewa, rahsianya ialah saya rakam dan ‘koyakkan’ suara berulang-kali selama lebih sejam untuk dapatkan tekstur suara yang kasar.
“Dari situ baru dapat rasa emosinya. Kesan ‘pecah’ pada suara itu cukuplah untuk menyampaikan emosi, sebab rasa sebegitu takkan ada dalam album KRU sebelum ini,” katanya.
Di samping itu, Yusry turut menyelitkan nilai sentimental dalam album ini menerusi lagu Pelengkap Hidup.
Lagu yang ditulis ketika isterinya, Datin Lisa Surihani berada di luar negara untuk penggambaran itu disifatkan sebagai refleksi kehidupan peribadinya.
“Lagu itu saya tulis khas dengan membayangkan diri saya dan keluarga. Saya mahu lagu ini berhubung kait dengan lelaki atau suami yang bahagia dengan perkahwinan mereka.
“Hidup ini sederhana dan pelengkap hidup sebenar ialah isteri dan anak-anak, bukannya benda-benda duniawi semata-mata,” katanya.
Menariknya, pembentukan album ini turut menyaksikan keterbukaan Yusry bekerjasama dengan bakat muda seperti Luca Sickta dan band iringannya, Aura.
Dia menegaskan enggan mengulangi sikap sesetengah penggiat seni senior yang pernah memandang rendah kemampuannya sewaktu awal kemunculan dulu.
Menyentuh mengenai penerimaan peminat terhadap imej serta genre baharu yang dibawa, Yusry menyerahkan segalanya kepada rezeki sambil kekal optimis terhadap kitaran industri muzik tempatan.”Saya tak ada keyakinan pun nak jual album fizikal waktu sekarang, saya main redah sahaja. Tapi saya perhatikan kebelakangan ini, penghargaan terhadap muzik ada kitarannya.
“CD (cakera padat) dan piring hitam pun orang mula kumpul balik. Pada saya, kalau penggiat seni tak menghasilkan karya, muzik itu akan mati,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




