saufi@mediaprima.com.my
TELEFON pintar kini menjadi peranti paling penting dalam kehidupan seharian, menyimpan pelbagai maklumat sensitif termasuk data perbankan, foto peribadi dan akses kepada media sosial.
Namun, kemudahan ini turut membawa risiko besar sekiranya pengguna tidak berhati-hati dalam menjaga keselamatan digital dan fizikal peranti berkenaan.
Ancaman siber seperti pencerobohan akaun, pencurian data dan aplikasi berniat jahat semakin berleluasa sejajar dengan peningkatan kes penipuan dalam talian di negara ini.
Selain ancaman digital, kerosakan fizikal seperti skrin pecah, kerosakan bateri dan kemasukan air turut menjadi punca utama pengguna terpaksa membelanjakan wang tambahan untuk pembaikan atau penggantian telefon.
Berikut dikongsikan 10 tips bagi melindungi telefon pintar daripada dua ancaman utama iaitu serangan siber dan kerosakan fizikal.
Lima tip mengelak telefon daripada digodam:
1. Aktifkan pengesahan dua faktor (2FA) untuk semua akaun penting seperti emel, perbankan dan media sosial bagi menambah lapisan keselamatan.
2. Elakkan memuat turun aplikasi daripada sumber luar rasmi selain Google Play Store atau Apple App Store kerana berisiko membawa perisian hasad.
3. Sentiasa kemas kini sistem operasi dan aplikasi kerana kemas kini ini selalunya mengandungi tampalan keselamatan bagi menutup kelemahan sistem.
4. Berhati-hati dengan pautan mencurigakan yang diterima melalui SMS, WhatsApp atau emel kerana ia boleh membabitkan taktik pancingan data yang menyamar sebagai institusi rasmi.
5. Elakkan menyambung ke rangkaian Wi-Fi awam tanpa perlindungan VPN kerana ia mudah dieksploitasi oleh penggodam untuk mencuri data yang dihantar melalui rangkaian berkenaan.
Lima tips menjaga telefon daripada rosak:
1. Gunakan pelindung skrin dan casing berkualiti bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat terjatuh atau tergesel.
2. Elakkan mendedahkan telefon kepada suhu melampau sama ada terlalu panas atau sejuk kerana ia boleh menjejaskan prestasi bateri dan komponen dalaman.
3. Gunakan pengecas asli atau yang disahkan oleh pengeluar bagi mengelak kerosakan bateri disebabkan arus elektrik tidak stabil.
4. Jauhkan telefon daripada air dan kelembapan melainkan model berkenaan mempunyai sijil kalis air rasmi seperti IP68.
5. Elakkan mengecas telefon sepanjang malam secara berterusan kerana ia boleh mempercepatkan kemerosotan kesihatan bateri dalam jangka masa panjang.
Menerusi mengamalkan langkah ini secara konsisten, pengguna dapat memanjangkan jangka hayat telefon pintar, sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber.
© New Straits Times Press (M) Bhd




