Mahu uji kemampuan sebagai pengarah pelbagai gaya

Mahu uji kemampuan sebagai pengarah pelbagai gaya

am@hmetro.com.my

SELEPAS lebih dua dekad meniti kerjaya dalam dunia komersial, Bobby Husaini kini mengorak langkah mempertaruhkan naskhah terbaharu juga filem sulungnya berjudul Libang Libu.

Bobby bukan nama asing dalam kalangan syarikat korporat yang sering mendapatkan sentuhan kreatifnya untuk menghasilkan karya berimpak tinggi, khususnya menjelang musim perayaan.

Menurut anak kelahiran Ipoh, Perak ini, dia merasakan sudah tiba masanya untuk mencabar diri dan membuktikan kemampuan pada skala yang lebih besar.

Namun, peralihan ke dunia pengarahan filem bukan bererti dia meninggalkan bidang komersial sepenuhnya.

Sebaliknya, ia dilihat sebagai langkah memperluas horizon kreatif serta memperkukuh portfolio seninya.

“Saya memulakan kerjaya dalam bidang iklan sebagai penulis iklan (copywriter). Selepas lebih 20 tahun, ini adalah waktu yang tepat untuk saya memperluaskan kemampuan ke tahap berbeza.

“Bagi saya, ini satu peralihan yang diimpikan oleh ramai pengarah iklan dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya.

“Ini boleh dikatakan sebagai permulaan kepada sesuatu yang baharu. Saya masih mahu terus mengarah iklan, dan pada masa sama menunaikan impian untuk mengarah filem,” jelasnya.

Mengulas mengenai skeptikal segelintir pihak yang beranggapan sentuhan iklannya mungkin akan terlalu ketara dalam filem ini, Bobby mengakui tanggapan itu bukan sesuatu yang mudah untuk disangkal.

Namun, dia melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu dibuktikan melalui karya.

“Memang ada yang bertanya sama ada gaya iklan saya akan membayangi filem ini. Jawapannya mudah, kena tonton dahulu dan nilaikan sendiri.

“Sejujurnya, ini risiko yang akan dihadapi oleh semua pengarah iklan seperti saya. Tetapi satu perkara yang saya pegang, tidak kira iklan atau filem, saya akan menghasilkan karya berdasarkan apa yang saya rasa.

“Ramai mengatakan iklan saya sedih, tetapi itu bukan tujuan utama saya. Sebenarnya, setiap karya yang dihasilkan membawa mesej yang dekat dengan masyarakat dan mungkin itu yang membuatkannya terasa menyentuh hati,” jelasnya.

Berkongsi lanjut mengenai Libang Libu lagi, tidak dinafikan ada yang melihat gaya penceritaan tersebut seakan-akan menyamai sentuhan karya Allahyarham Mamat Khalid.

Namun, bagi Bobby, perbandingan itu dilihat sebagai satu penghormatan, dalam masa sama dia tetap mengekalkan identiti dan gaya tersendiri dalam naskhah sulungnya itu.

“Arwah Abang Mat adalah idola saya, namun itu bukan tiket untuk Libang Libu dibayangi karya hebat beliau. Mungkin kerana saya menjalani penggambaran di Perak dan mengambil inspirasi daripada situasi masyarakat di sana, tetapi Libang Libu bukan sekadar filem komedi, sebaliknya gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kita.

“Mengapa Perak? Lokasi penggambaran adalah kampung saya, jadi secara tidak langsung filem ini sangat dekat dengan kehidupan awal saya ketika kecil,” ujarnya.

Selain jalan cerita yang segar, gabungan pelakon hebat antaranya Ameerul Affendi, Beto Kusyairi dan Nabila Huda turut menjadi antara kekuatan filem yang bakal ditayangkan pada 23 April ini.

Tambah Bobby lagi, pemilihan pelakon memainkan peranan utama memandangkan ramai yang melihat naskhah ini hanya sebagai sebuah karya komedi.

“Saya suka bekerja dalam suasana selesa dan apabila pelakon mampu memberikan yang terbaik, ia memudahkan semua pihak. Bila melihat filem ini ada yang membayangkan ia sekadar sebuah filem komedi, tetapi di sebaliknya terdapat banyak isu yang cuba diketengahkan dalam filem ini.

“Jadi, setiap watak adalah penting bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton. Cabaran paling besar bagi saya bukan kerana pelakon tidak mampu menjiwai watak, tetapi lebih kepada penyampaian dialek bahasa Perak itu sendiri.

“Namun, sejak awal lagi saya berpesan pada pelakon agar tidak terlalu tertekan mengenainya, kerana kita juga mahu penonton memahami bahasa yang digunakan dengan mudah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top