am@hmetro.com.my
Ipoh: Sebanyak RM10.9 juta diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi memperkukuh agenda pemerkasaan asnaf melalui Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menyasarkan 1,200 peserta sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, peruntukan itu adalah bagi membiayai kos latihan kemahiran, pensijilan profesional serta keperluan latihan peserta yang semuanya dijamin dengan peluang pekerjaan.
Menurutnya, peserta mengikuti latihan dalam pelbagai bidang berimpak tinggi yang mempunyai permintaan besar dalam industri antaranya pembinaan, minyak dan gas, automasi industri, kimpalan, perkapalan, kesihatan serta sektor perkhidmatan bagi tempoh antara satu hingga sembilan bulan, bergantung jenis latihan.
“Penyedia latihan bukan hanya memberikan latihan tetapi wajib menyediakan peluang pekerjaan dengan menunjukkan komitmen pasaran dalam industri serta membantu semua peserta mendapat tempat dalam pekerjaan.
“Mengenai pasaran bidang kerja itu pula kita bukan hanya tengok dalam Perak sahaja sebaliknya kembang luaskan ke seluruh negara di samping bidang kemahiran yang sangat diperlukan dalam Perak seperti automotif,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Peserta Program Latihan Kemahiran Asnaf TVET-MAIPk tahun 2026 di sini hari ini.
Majlis pelepasan itu dihadiri seramai 340 peserta asnaf untuk mengikuti latihan kemahiran di enam institusi latihan yang dilantik.
Shamsul Hazeman berkata, peruntukan itu dianggap sebagai pelaburan yang mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dalam memperkasakan sosio ekonomi asnaf melalui pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan modal insan yang berdaya saing.
Beliau berkata, permohonan mengikuti TVET-MAIPk dibuka secara dalam talian dan mendapat sekitar 10,000 permohonan, namun setiap satu disaring agar mereka yang benar-benar layak sahaja beroleh manfaat.
“Bila kita semak, selalunya peserta yang layak adalah dari kalangan keluarga yang memang terdapat dalam pangkalan data. Itu memudahkan kita untuk tahu dalam keluarga itu memang ada keperluan tinggi untuk kita bantu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul Hazeman berkata, pihaknya terbuka kepada mana-mana lepasan program pemerkasaan asnaf MAIPk yang berjaya memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi untuk kembali menabur bakti dengan membayar zakat kepada MAIPk biarpun bekerja di luar Perak.
Katanya, ia memandangkan saban tahun MAIPk memerlukan perbelanjaan kira-kira RM298 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




