MAIPs salur peruntukan tambahan RM1.2 juta bantu asnaf

MAIPs salur peruntukan tambahan RM1.2 juta bantu asnaf

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.02 juta sebagai sumbangan Bantuan Kecemasan Khas Masjid MAIPs bagi meringankan beban golongan asnaf.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bantuan tambahan itu dilakukan selepas kerajaan membuat keputusan menyambung Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 hingga 28 Jun ini.

“Diharapkan inisiatif ini mendapat kerjasama daripada semua pihak pengurusan masjid dalam memastikan supaya sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan mengikut tujuan dan garis panduan yang telah ditetapkan, sesuai dengan hasrat murni para penyumbang zakat melalui MAIPs,” titah baginda menerusi satu kenyataan dikeluarkan MAIPs hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah bantuan berkenaan adalah dikhususkan untuk mereka yang terjejas dengan pelaksanaan PKP 3.0 tetapi nama tidak disenaraikan dalam Bantuan Khas Rangsangan Asnaf sebanyak RM5.45 juta yang diumumkan MAIPs pada 11 Jun lalu.

“Bantuan ini disasarkan kepada lebih 5,000 penerima dengan jumlah sumbangan sebanyak RM200 sebagai bantuan segera untuk keperluan mendesak golongan asnaf yang terjejas,” titah baginda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata syarat penerima bantuan berkenaan adalah mereka yang benar-benar terjejas dan terdesak seperti kehilangan sumber pendapatan akibat PKP 3.0, bukan penerima Bantuan Sarahidup Bulanan & Berkala MAIPs yang menerima Bantuan Khas COVID-19 sebelum ini.

Bantuan akan diagih oleh amil atau ahli Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri Perlis, katanya dalam kenyataan sama. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top