Majlis Atlet mampu lonjak tahap kemajuan atlet para

Majlis Atlet mampu lonjak tahap kemajuan atlet para

PENUBUHAN Majlis Atlet oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berpotensi melonjak tahap kemajuan diri atlet para negara pada masa depan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata, pihaknya yang menyambut baik inisiatif MPM itu, mahu melihat penubuhan Majlis Atlet mampu menjadi wadah membincangkan masalah dihadapi komuniti sukan para baik di dalam mahupun luar gelanggang.

“Saya harap penubuhan Majlis Atlet membawa lebih banyak manfaat kepada atlet para kita antaranya memberi platform terbaik buat mereka bukan sahaja dari segi kebajikan malah aspek kemajuan diri masing-masing,” katanya kepada Bernama selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Social Entrepeneurship For Rural Youth (SERY) 2023 di sini, malam Khamis.

Semalam, MPM mengumumkan Majlis Atlet akan diketuai perenang para wanita Carmen Lim selain dianggotai jaguh olahraga para, Mohamad Ridzuan Puzi; perenang lelaki ,Jamery Siga dan Fraidden Dawan serta atlet boccia, Noor Askuzaimey Mat Salim.

Scroll to Top