Majlis bersiram cemar kesucian ibadah nikah

Majlis bersiram cemar kesucian ibadah nikah

Pernikahan adalah ibadah, wajib dilaksana mengikut syariat dan tidak harus dicemari untuk unsur bertentangan

– Advertisement –

ARAU: Fenomena majlis ‘bersiram’ atau ‘bridal shower’ sebelum pernikahan yang kembali menular dalam kalangan masyarakat Islam masa kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendakwah dan ahli akademik.

– Advertisement –

Ustazah Nadiyah Hashim menyifatkan trend tersebut sebagai satu bentuk pencemaran terhadap kesucian ibadah perkahwinan yang sepatutnya dijaga daripada unsur melalaikan serta amalan bertentangan dengan syariat.

“Kita lihat hari ini pernikahan yang sepatutnya dimuliakan sebagai satu ibadah, telah mula dicemari dengan adat-adat yang tidak membawa manfaat. Dulu memang ada adat bersiram, tapi lama-lama ia hilang.

“Sekarang kita tengok, ia muncul semula dalam versi moden, dan ini perlu diberi perhatian serius,” ujar Pensyarah Akademik Pengajian Islam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis itu.

Beliau menegaskan, Islam tidak menghalang sebarang bentuk persediaan bagi meraikan pengantin, namun aktiviti tersebut tidak boleh menyimpang daripada asas syarak.

“Perkahwinan adalah satu ibadah yang suci. Ia tidak sepatutnya dicemari dengan aktiviti yang menyalahi fungsi ibadah itu sendiri, sama ada sebelum atau selepasnya.

“Bahkan, dalam Islam cukup sekadar mengadakan majlis kenduri sebagai tanda hebahan bahawa pasangan tersebut telah bernikah, di samping menjalankan segala rukun nikah yang ditetapkan,” katanya lagi.

Menurut Ustazah Nadiyah, penganjuran majlis ‘bridal shower’ atau ‘mandi bunga’ yang kini semakin popular bukan berasal daripada ajaran Islam dan perlu diteliti agar tidak membawa kepada unsur khurafat.

“Jika majlis itu dilakukan dalam keadaan mendedahkan aurat, di tempat terbuka dan menjadi tontonan umum, maka ia jelas haram sekalipun dilakukan atas alasan budaya atau hiburan semata-mata,” jelasnya.

Tegasnya lagi, terdapat kecenderungan sesetengah pihak mengaitkan mandi bunga dengan kepercayaan menaikkan seri pengantin melalui penggunaan bunga tertentu, bauan tertentu atau bacaan jampi tertentu yang boleh membawa kepada unsur syirik.

“Kita kena faham, apa saja amalan yang disandarkan kepada ‘kuasa luar’ selain Allah seperti jampi atau pemujaan semangat bunga, adalah termasuk dalam bentuk syirik yang dilarang keras dalam Islam.

“Jika jelas ada unsur syirik, maka ia wajib ditinggalkan tanpa kompromi,” tegas beliau.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan mandi dengan wangian atau bunga bagi tujuan kebersihan dan penampilan yang lebih baik bukanlah satu kesalahan, asalkan ia dilakukan di tempat tertutup dan tidak melibatkan unsur kepercayaan khurafat.

“Islam tidak pernah melarang mandi dengan niat menyegarkan tubuh, membersihkan diri atau sekadar mencantikkan diri untuk suami, selagi mana tidak melibatkan perkara-perkara yang syubhah dan dilakukan secara tertutup,” katanya.

Ustazah Nadiyah menyeru agar masyarakat Islam kembali kepada ajaran sebenar dalam meraikan detik penting kehidupan seperti pernikahan.

“Banyak lagi cara yang lebih baik dan bersih daripada unsur syirik untuk meraikan bakal pengantin. Kita boleh adakan majlis ilmu, bacaan doa selamat atau tazkirah kekeluargaan  itu lebih bermanfaat dan menyatukan hati ahli keluarga,” ujarnya.

Fenomena mempopularkan kembali majlis bersiram atau mandi bunga ini sering dipengaruhi oleh media sosial dan budaya luar yang diterapkan dalam bentuk glamor dan hiburan, namun disalurkan secara tidak terkawal.

Ustazah Nadiyah mengingatkan bahawa keghairahan meniru budaya luar tanpa saringan akan membuka ruang kepada kerosakan akidah serta normalisasi adat yang tidak selari dengan syariat Islam.

“Kita kena jadi umat yang bijak menilai. Jangan hanya kerana ingin kelihatan moden dan ‘trending’ di media sosial, kita gadaikan prinsip Islam dan buka pintu kepada perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah,” katanya lagi.

Beliau mengajak para ibu bapa, bakal pengantin dan penggiat industri perkahwinan Islam untuk memainkan peranan dalam menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesucian ibadah pernikahan daripada unsur-unsur melalaikan atau bercanggah dengan agama.

“Kalau kita yang dewasa ini tidak menjadi contoh dan pendidik kepada anak-anak muda, siapa lagi yang akan tegakkan nilai Islam dalam kehidupan mereka?” soalnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

– Advertisement –

Scroll to Top