Maksimumkan nilai sumber petroleum secara mampan

Maksimumkan nilai sumber petroleum secara mampan

Kuala Lumpur: Keberkesanan dan keupayaan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) membangunkan sektor minyak dan gas negara selama ini terbukti mendatangkan hasil sangat positif kepada seluruh negara.

Sejak 1974, industri minyak dan gas di Malaysia sudah berkembang pesat, dengan pelaburan terkumpul sehingga 2021 melebihi RM650 bilion.

Kini, tahap pengeluaran minyak dan gas negara dianggarkan mencapai 1.6 juta tong minyak setara sehari, walaupun ketika ini industri amat terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sebelum ini.

Begitu juga peranan PETRONAS dalam mengekalkan landskap pelaburan stabil dan kondusif bagi sektor huluan, penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Satu daripada kesan positif yang terhasil daripada nilai ekonomi pengganda adalah pembentukan ekosistem industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) tempatan berdaya saing bukan sekadar dalam negara, malah antarabangsa yang menyumbang kepada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan.

Setakat ini, terdapat lebih 4,000 vendor berlesen dengan PETRONAS untuk industri huluan. Justeru, industri minyak dan gas akan terus menyumbang kepada perolehan pendapatan negara serta pembangunan modal insan, selain memangkin pembangunan sosioekonomi lestari.

Aktiviti penerokaan pertama minyak dan gas asli negara sudah bermula lebih kurang seabad yang lalu, melalui penemuan telaga minyak pertama di Sarawak pada 1910.

Pada ketika itu, syarikat asing diberikan hak untuk meneroka sumber petroleum dan diwajibkan membayar cukai dan royalti kepada kerajaan.

Selepas sekian lama sumber petroleum Malaysia diteroka dan diusahakan syarikat asing, kerajaan mula menyedari kepentingan serta nilai strategik untuk mengambil alih kawalan ke atas sumber berkenaan.

Di bawah Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan oleh kerajaan ketika itu, Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) telah diluluskan.

Melalui akta itu, PETRONAS ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan diberikan seluruh hak milik dan kuasa, kebebasan, keistimewaan eksklusif untuk menerokai, mengeksploitasi, mendapatkan dan memperoleh petroleum di Malaysia.

Di bawah mandat PDA 1974, PETRONAS bertanggungjawab membangunkan dan menambah nilai ke atas sumber petroleum seluruh negara supaya industri minyak dan gas negara sentiasa mampan.

Peranan kawal selia

Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh PETRONAS secara asasnya melalui unit Pengurusan Petroleum Malaysia atau dikenali sebagai Malaysia Petroleum Management (MPM) yang menjalankan peranan kawal selia dan tadbir urus ke atas pembangunan operasi industri huluan minyak serta gas negara.

Malaysia juga mempunyai potensi sumber petroleum yang besar belum diterokai atau Yet-to-Find Potential, iaitu sebanyak 21 bilion tong minyak setara.

Oleh itu, MPM turut menganjurkan Pusingan Bidaan Malaysia atau Malaysia Bid Round (MBR) secara tahunan.

Maksimumkan nilai sumber petroleum secara mampanMelalui MBR, MPM berperanan dalam menawarkan dan menganugerahkan blok-blok minyak dan gas kepada syarikat berkelayakan bagi memajukan sumber petroleum Malaysia secara optimum.

Melalui MBR, MPM berperanan menawar dan menganugerahkan blok minyak dan gas menerusi Kontrak Perkongsian Pengeluaran atau Production Sharing Contract (PSC) kepada syarikat berkelayakan bagi memajukan sumber petroleum secara optimum seterusnya memaksimumkan rantaian nilai minyak dan gas dalam negara.

Ini juga bagi memastikan pelabur menjalankan kerja operasi penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak dan gas dengan telus serta teratur.

Menerusi acara MBR untuk tahun 2021, MPM berjaya menganugerahkan enam daripada 13 blok penerokaan yang ditawarkan kepada syarikat minyak dan gas yang sedia ada. Terbaru seperti anak syarikat PTTEP, Shell, SK Innovation, PETROS dan juga syarikat kongsi OMV serta Sapura.

Syarikat itu seterusnya akan menjalankan aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran di lapangan minyak dan gas berdasarkan terma kontrak yang telah dipersetujui.

Kini, terdapat lebih daripada 30 kontraktor minyak dan gas yang terdiri daripada syarikat anta- rabangsa terkemuka seperti ExxonMobil, Shell, TotalEnergies dan Hess.

Selain itu, terdapat juga syarikat minyak dan gas tempatan yang berpotensi dan berdaya saing antaranya PETRONAS Carigali, Vestigo dan SapuraOMV, serta syarikat milik kerajaan negeri seperti PETROS dan Sabah International Petroleum.

Syarikat-syarikat tersebut mampu membawa masuk pelaburan modal tinggi, kemahiran yang khusus dan teknologi baharu bagi memastikan kelangsungan jangka masa panjang industri huluan minyak dan gas negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Recent Posts

Scroll to Top