faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan bom di Lapangan Terbang Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan, semalam yang mengakibatkan ramai kehilangan nyawa dan cedera.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan malam ini, berkata kerajaan menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga terkesan dengan insiden itu serta mendoakan mereka yang cedera segera sembuh.
“Serangan bom itu hanya memburukkan lagi situasi keselamatan yang berada pada tahap membimbangkan di Afghanistan.
“Malaysia menggesa semua pihak berkaitan memberi fokus penuh terhadap aspek keselamatan dan perlindungan orang awam, termasuk mereka yang berhasrat meninggalkan negara itu,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan puluhan maut termasuk 13 tentera Amerika Syarikat (AS) dalam serangan bom nekad ke atas orang ramai yang berasak di luar lapangan terbang di Kabul untuk meninggalkan Afghanistan.
Menurut Taliban, dua letupan dalam insiden berkenaan mengorbankan antara 13 hingga 20 orang, namun seorang pegawai kesihatan daripada kerajaan terdahulu yang enggan dikenali pula memaklumkan angka terbabit berkemungkinan boleh mencecah hingga 60 mangsa.
Kumpulan IS dilaporkan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, sekali gus meningkatkan lagi situasi genting dalam proses pemindahan keluar dari Afghanistan.
Menurut kenyataan itu, Malaysia turut memuji peranan dimainkan organisasi dan masyarakat antarabangsa dalam memastikan bantuan kemanusiaan dihulurkan kepada individu memerlukan, termasuk wanita, kanak-kanak dan golongan minoriti di Afghanistan.
“Malaysia akan terus menyokong usaha mencari jalan perdamaian dan penyelesaian untuk tempoh panjang demi kepentingan Afghanistan serta rakyatnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




