PETALING JAYA: Malaysia dan Mesir bertukar empat memorandum persefahaman (MoU) meliputi bidang pemerkasaan wanita, pendidikan tinggi, pelancongan dan pelaburan bagi memperkukuh hubungan dua hala.
Pertukaran dokumen itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi bersempena lawatan negara dua hari pemimpin berkenaan ke Malaysia.
Lawatan itu dijangka memberi dorongan baharu kepada usaha meningkatkan hubungan kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik selepas lebih enam dekad menjalin hubungan diplomatik.
Memuatkan artikel berkaitan…
Bagi MoU pemerkasaan wanita, Malaysia diwakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, manakala Mesir diwakili Menteri Luar, Kerjasama Antarabangsa dan Hal Ehwal Rakyat Mesir di Luar Negara, Dr. Badr Ahmed Mohamed Abdelatty.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pula bertukar MoU kerjasama pendidikan tinggi dengan Abdelatty.
MoU kerjasama pelancongan turut dipertukarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dengan Abdelatty.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili Malaysia dalam pertukaran MoU antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Pihak Berkuasa Am Pelaburan dan Zon Bebas Mesir.
Bagi MoU berkenaan, Mesir diwakili Menteri Pelaburan dan Perdagangan Luar, Dr. Mohamed Farid Saleh.
Terdahulu, Anwar dan El-Sisi mengadakan pertemuan empat mata di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya sebelum mengetuai perbincangan dua hala.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan bidang lain yang menjadi kepentingan bersama, selain perkembangan serantau serta antarabangsa.
Usaha memperkukuh hubungan itu turut disokong peningkatan perdagangan Malaysia-Mesir sebanyak 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion dalam lapan bulan pertama tahun ini, melebihi RM3.08 bilion yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Pada 2025, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Afrika, dengan eksport Malaysia bernilai RM2.55 bilion dan import dari negara berkenaan berjumlah RM530 juta.
Kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik sejak 1959 dan terus bekerjasama dalam pendidikan, perdagangan serta pelaburan, selain isu serantau dan antarabangsa.
Lawatan El-Sisi atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim merupakan lawatan negara pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Jun 2014.
Program lawatan turut menampilkan pameran model baharu Proton Saga dan Modenas bagi mengetengahkan industri automotif serta jenama tempatan Malaysia.




