am@hmetro.com.my
Butterworth: Malaysia harus mengambil peluang kepengerusiannya dalam ASEAN tahun ini untuk meneroka dan meluaskan pasaran industri halal ke seluruh negara anggota serantau ASEAN yang memiliki populasi lebih 600 juta penduduk.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, Malaysia kini giat memperkukuh ekosistem industri halal menerusi penyelarasan menyeluruh termasuk melibatkan agensi pusat dan agensi di bawah kerajaan negeri.
“Penyelarasan antara Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan kerajaan negeri adalah penting bagi memperkukuh pembangunan dan promosi produk halal Malaysia.
“Tentunya koordinasi ini bukan agenda negeri sahaja tetapi agenda nasional dan saya mengambil beberapa langkah untuk berada pada peringkat antarabangsa bersama MATRADE dan HDC bagi memastikan penembusan pasaran serantau dapat dilaksanakan secara lebih strategik,” katanya selepas menghadiri pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Pulau Pinang negeri pertama menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri sebagai permulaan langkah penting dalam usaha membentuk ekosistem halal lebih sistematik, berdaya saing sekali gus dilihat dapat memenuhi keperluan pasaran global yang semakin berkembang.
Beliau menyifatkan langkah itu penting dengan ketika ini, produk halal dari Indonesia dan Thailand berjaya menembusi pasaran Malaysia tetapi produk tempatan berdepan cabaran menembusi pasaran negara jiran.
Menurutnya, perkara itu disebabkan usaha pemasaran belum cukup kuat diadakan walaupun beberapa negara ASEAN yang mengiktiraf logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi laluan kepada produk Malaysia tetapi sebahagian besar pasaran masih belum diterokai secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia menegaskan usaha beliau mencadangkan penubuhan Majlis Halal ASEAN bertujuan mewujudkan platform penyelarasan standard dan pengiktirafan halal di rantau ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




