Kuala Lumpur: Malaysia bersedia mengadakan rundingan untuk menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014 lalu.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan akan terus bekerjasama dengan kerajaan Australia dan China bagi merungkai misteri di sebalik kehilangan pesawat itu.
“Kita berkongsi usaha untuk mengesan pesawat berkenaan dan mencari jawapan, namun terpaksa membuat keputusan berat untuk menangguhkan operasi mencari dan menyelamat sehingga bukti baharu diperoleh.
“Pada masa sama, kita memberi jaminan usaha-usaha akan dilakukan dengan kerjasama China dan Australia, sekali gus turut memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa sebarang perkembangan baharu,” katanya.
Wee berkata demikian dalam mesej video pendek bersempena tujuh tahun tragedi berkenaan dalam telesidang anjuran kumpulan sokongan keluarga mangsa MH370 iaitu Voice 370, hari ini.
Ketika kejadian, terdapat 239 penumpang dan kru dalam pesawat terbabit.
Wee turut berkata, kehilangan pesawat itu sejak 2014 lalu pasti tidak dapat dilupakan rakyat lebih-lebih ahli keluarga mangsa.
Katanya, kejadian itu terus segar dalam ingatan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat dan semua penumpangnya.




