‘Malaysia Teacher Prize’ ketengah kehebatan guru negara di persada dunia

‘Malaysia Teacher Prize’ ketengah kehebatan guru negara di persada dunia

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), Fadhlina Sidek melahirkan penghargaan dan rasa teruja terhadap penganjuran Anugerah Malaysia Teacher Prize  yang dijadikan platform untuk mengetengahkan bakat luar biasa golongan pendidik di negara ini.

Kata Fadhlina, anugerah yang bermula tahun lalu itu memilih finalis bukan calang-calang, sebaliknya dalam kalangan guru yang berjaya mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.

Antaranya, Cikgu Wan Muadzam yang telah berjaya dinobat sebagai finalis 50 teratas Global Teacher Prize setelah tiga tahun Malaysia tidak mempunyai wakil dalam anugerah terkemuka dunia.

Manakala Cikgu Anuthra Sirinesa telah terpilih berucap di UNESCO World Teacher’s Day dan Cikgu Goh Kok Ming pula dinobat pemenang Cambridge Dedicated Teachers Award 2023.

“Pencapaian-pencapaian luar biasa biasa ini mengingatkan kita bahawa Malaysia ini mempunyai potensi besar dan bersinar bagi memajukan sistem pendidikan kita.

“Sebenarnya ini adalah pengalaman pertama saya berada di pentas ini yang menyaksikan guru-guru hebat di Malaysia mencipta sejarah melalui dedikasi luar biasa dalam dunia perguruan. Seperti ramai maklum, saya sendiri datangnya daripada keluarga pendidik.

“Melalui Allayarham bapa saya, beliau memulakan kerjaya awal sebagai pendidik setelah memperoleh ikthisas perguruan daripada Maktab Perguruan Lembah Pantai kemudian menjadi penerima pertama PhD dalam bidang Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam pada 1989. Bapa adalah guru pertama saya dan saya ini adalah hasil didikannya.

“Kerana itu juga saya percaya, di tangan guru, generasi masa kini dan akan datang akan dapat dibentuk dan dibina,” katanya ketika berucap penuh emosi pada majlis penyampaian Anugerah Malaysia Teacher Prize 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini petang ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bergambar bersama pemenang ketika di Majlis Penganugerahan Hadiah Guru Malaysia 2023 Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2023.

Malaysia Teacher Prize 2023 anjuran Pemimpin Global School Leaders (GSL) bersama-sama YTL Foundation, Yayasan Hasanah dan Yayasan ECM Libra telah memilih Cikgu Muhammad Nazmi dari Sekolah Kebangsaan Long Sebangang, Sarawak sebagai pemenang utama dengan wang tunai RM50,000 bersama sijil dan trofi kali ini.

Fadhlina yang begitu teruja dan tersentuh dengan kemenangan itu berharap akan ada lebih ramai guru tampil dengan bakat luar biasa yang akhirnya akan menghasilkan anak didik lebih cemerlang.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua khasnya pemenang utama serta 10 finalis teratas di Teacher Prize 2023 ini. Saya yakin dan percaya setiap seorang daripada anda ini akan terus mencapai kegemilangan dan menginspirasikan guru-guru lain di negara ini.

“Kepada yang menang, saya amat yakin anda akan manfatkan hadiah kemenangan ini ke arah menyumbang kepada sekolah dan komuniti anda,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top