Malaysia, Thailand sama kuat di Vietnam

Aksi Harimau Muda B-19 menentang Thailand dalam perlawanan Kejuaraan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien di Stadium Binh Duong, Vietnam, pada Jumaat.

SKUAD Harimau Muda Bawah 19 (B-19) tahun negara dan Thailand menampilkan aksi sama kuat selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi Kejuaraan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien di Stadium Binh Duong, Vietnam,pada Jumaat.

Thailand yang tampil pasukan pilihan kejohanan tidak menunggu lama untuk menguji gawang skuad kendalian Hassan Sazali Waras dalam perlawanan tersebut.

Namun ketangkasan penjaga gol, Syahmi Adib Haikal menyelamatkan deretan percubaan lawan sepanjang 45 minit babak pertama.

Skuad B-19 negara yang berstatus juara Kejuaraan B-19 AFF 2022,tampil lebih garang babak kedua, namun ketumpulan penyudah sekali lagi menyaksikan kedua-dua pasukan buntu di penghujung saingan.

Anak buah Hassan Sazali akan berdepan tuan rumah, Vietnam, Ahad sebelum melabuh kempen menentang Myanmar, pada Selasa ini.

Anjuran Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF), menyaksikan dua pasukan teratas liga sepusingan itu berentap di perlawanan akhir 11 Ogos ini.