Istanbul: Malaysia dan Turkiye bersetuju memperkukuh kerjasama industri bernilai tinggi dengan memberi tumpuan kepada sektor strategik merangkumi pertahanan, tenaga, pembinaan dan teknologi canggih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Turkiye mempunyai kapasiti kukuh dalam industri pertahanan dan pembuatan, khususnya dalam pembangunan teknologi dron dan pembinaan berskala besar.
Ia secara tidak langsung membuka peluang kerjasama lebih luas dengan rakan industri dari Malaysia.
Katanya, Malaysia turut memberi perhatian terhadap keupayaan syarikat nuklear Turkiye sebagai antara bidang yang berpotensi untuk diteroka dalam perancangan jangka panjang sektor tenaga negara.
“Turkiye mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya sebagai antara yang terkuat dalam industri pertahanan dan sebagai sebuah negara kami juga telah memutuskan untuk memberi tumpuan kepada kekuatan syarikat nuklear Turkiye dalam usaha perolehan,” katanya dalam ucapan pembukaan sesi meja bulat bersama pemain industri Turkiye dan Malaysia di sebuah hotel di Istanbul, hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia memiliki kekuatan tersendiri dalam sektor tenaga termasuk eksport gas asli cecair (LNG), di samping peranan penting negara dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI) di peringkat serantau.
Beliau berkata, penggabungan kekuatan industri kedua-dua negara berupaya mewujudkan kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak tinggi, khususnya dalam pembangunan teknologi baharu, perkongsian kepakaran serta peluasan jaringan pasaran.
“Pendekatan ini membolehkan kita membina kerjasama yang saling melengkapi, dengan Turkiye dan Malaysia memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk menjana nilai ekonomi jangka panjang,” katanya.
Anwar berkata, usaha memperkukuh sinergi industri itu dijangka menyumbang kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala, selain memperkukuh kedudukan kedua-dua negara sebagai rakan strategik penting di rantau masing-masing.
Katanya, kerjasama itu akan didorong melalui penglibatan sektor swasta, kolaborasi industri serta pelaburan bersama yang berpotensi menghasilkan pulangan ekonomi mampan.
Menurut Perdana Menteri lagi, Malaysia kekal komited bagi menjadikan Turkiye sebagai rakan strategik utama dalam pembangunan industri masa depan, sejajar matlamat bersama untuk membina ekonomi yang berdaya tahan dan berasaskan teknologi tinggi.
Sebanyak 39 syarikat Turkiye dan 7 syarikat Malaysia terlibat dalam sesi meja bulat yang berlangsung selama 30 minit itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




