mhafis@mediaprima.com.my
Serdang: Akibat kegagalan sistem brek, sebuah lori merempuh tujuh kereta di Jalan Puteri 2/1, Bandar Puteri, Puchong, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 1.44 tengah hari daripada lelaki yang menghubungi melalui talian MERS 999 membabitkan lapan kenderaan terdiri daripada sebuah lori dan tujuh kereta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori yang datang dari arah Lebuh Puteri (selepas keluar dari kawasan pembinaan) menghala ke Pusat Bandar Puchong hilang kawalan dipercayai akibat kegagalan sistem brek.
“Akibat daripada itu, lori melanggar dua kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat dan lima kereta berada di kawasan parkir bangunan berhampiran.
“Siasatan dijalankan mengikut Rule 10 LN166/59 (Kaedah – Kaedah Lalu Lintas) iaitu memandu dalam keadaan cuai atau gagal mengawal kenderaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang turut menerima laporan polis daripada semua pemilik kenderaan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori didapati negatif.
“Kes masih dalam siasatan. Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian di atas untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




