Malaysia umum keputusan penting Isnin ini, reaksi balas tarif baharu Trump

Malaysia umum keputusan penting Isnin ini, reaksi balas tarif baharu Trump

Oleh PUTRAJAYA: Malaysia dijangka mengumumkan keputusan penting pada Isnin ini sebagai reaksi balas kepada tarif baharu dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan itu akan dibuat berdasarkan hasil mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN esok serta mesyuarat National Geoeconomic Command Centre (NGCC) Isnin ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuara Jemaah Menteri hari ini turut membincangkan mengenai tarif itu.

“Jemaah Menteri juga dimaklumkan isu itu akan dibincangkan pada mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan ASEAN yang akan dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz esok.

“Susulan itu, Isnin ini, NGCC akan bersidang dan hasil daripada mesyuarat esok dan perbincangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan ketua kerajaan negara ASEAN, maka pada Isnin, kita akan buat keputusan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, sebarang keputusan akan ditentukan selepas mesyuarat para menteri perdagangan ASEAN yang dijadual berlangsung esok.

Fahmi berkata, satu rombongan juga akan dihantar ke Amerika Syarikat bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan.

“Tarif tepat belum boleh saya sebut di sini, tapi semua tertakluk kepada keputusan dan kelulusan Jemaah Menteri hasil daripada mesyuarat esok dan juga mesyuarat hari Isnin.

“Ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif kerajaan dan kedudukan Malaysia sebagai
Pengerusi ASEAN. Ini adalah usaha untuk menggembeling semua isu dan pandangan yang dihadapi oleh
negara-negara ASEAN.

“Kita berhasrat untuk mengadakan perbincangan itu sebaik mungkin sebagai ASEAN itu sendiri,” katanya.

ASEAN yang terdiri daripada 10 negara, adalah antara pihak yang dikenakan tarif tertinggi oleh Presiden AS, Donald Trump.

Menerusi tarif baharu itu, Kemboja dikenakan 49 peratus, Laos (47 peratus), Vietnam (46 peratus), Myanmar (44 peratus), Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus), Malaysia (24 peratus), Brunei (24 peratus) dan Filipina (17 peratus). – UTUSAN

Scroll to Top