Malaysia usul Timor-Leste jadi anggota penuh Asean tahun ini

Malaysia usul Timor-Leste jadi anggota penuh Asean tahun ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia mengusulkan cadangan supaya Timor-Leste diberikan peluang menjadi anggota penuh tahun ini walaupun belum mencapai 66 Instrumen Undang-Undang ditetapkan blok berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Timor-Leste perlu diberikan peluang menganggotai blok itu secara penuh untuk jangka masa beberapa tahun dalam memenuhi semua instrumen itu.

“Masih banyak lagi perlu diperakukan Timor-Leste seperti mana Malaysia buat. Daripada 84 kita sudah turunkan kepada 66 instrumen kebanyakannya di bawah Majlis Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

“Kita sedang meneroka cadangan beri Timor-Leste masuk dulu (Asean) kemudian ia boleh penuhi instrumen itu dalam jangka masa katakan lima tahun kemudian terpulang kepada peringkat kepimpinan negara.

“Ini cara kita untuk pastikan Timor-Leste dimasukkan sebagai anggota penuh dalam kumpulan negara Asean tahun ini,” katanya pada sidang media menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-46, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, Timor-Leste perlu bekerja keras untuk memenuhi sebahagian besar daripada keperluan undang-undang itu.

“Majoriti negara Asean menyokong penyertaan Timor-Leste sebagai ahli keluarga besar Asean dan kita cuba membantu untuk mempercepatkan proses kemasukan Timor-Leste sebagai ahli penuh Asean.

“Namun, kita mereka perlu bekerja keras untuk memenuhi semua syarat dan pematuhan instrumen itu,” katanya.

Katanya, Asean juga bersetuju menubuhkan Pasukan KhasTimor-Lesteyang memainkan peranan penting dalam menyokong integrasi Timor-Leste dalam Asean.

“Seperti dimaklumkan Setiausaha Agung Asean, satu Unit Timor-Leste sudah pun ditubuhkan di Sekretariat Asean, Jakarta bagi membantu negara itu mematuhi semua instrumen perundangan dan pelaksanaan hala tuju.

“Kesemua cadangan yang dipersetujui di peringkat menteri hari ini akan dibawa untuk perbincangan lanjut oleh pemimpin Asean esok,” katanya.

Sementara itu, Mohamad menafikan dakwaan Filipina menghalang keanggotaan penuh Timor-Leste yang disifatkan beliau hanyalah khabar angin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top