am@hmetro.com.my
Ranau: Acara sukan tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Libang di Kompleks Sukan Ranau, di sini, pada Khamis lalu mencuit hati ibu bapa dan hadirin berikutan kehadiran kabus tebal yang menyebabkan peserta pertandingan tidak kelihatan.
Situasi berkenaan turut menarik perhatian netizen selepas suasana pertandingan ‘dalam kabus’ itu dirakam seorang bapa yang hadir menyaksikan anaknya menyertai acara larian sebelum memuat naik video di Facebook (FB).
Lebih melucukan, penonton yang menyaksikan pertandingan lumba lari pada kejohanan itu ‘berdebar’ menanti pelari yang muncul dari sebalik kabus untuk mengakhiri larian di garisan penamat.
Berkongsi situasi itu, Adzlan Jeffery, 44, berkata, dia bersama ibu bapa lain yang menonton acara pertandingan dari astaka tidak dapat melihat peserta di balapan selepas memulakan larian disebabkan kabus tebal.
Dia merakam situasi itu dan berkongsi video keunikan suasana pertandingan sepanjang 1.14 minit melalui akaun FB sebelum tular dan mendapat lebih 33,000 tanda suka dan lucu serta lebih 860,000 ‘views’ selepas dikongsi laman Facebook Sabah Info.
Rakaman yang dibuat pada jam 9.50 pagi itu ketika acara 4 × 100 meter menunjukkan suasana balapan yang samar-samar, selain kedengaran suara penonton yang menyebut ‘mana orangnya’ kerana tidak kelihatan pelari akibat ditutupi kabus.
Anaknya berumur 12 tahun bersama tiga rakan pasukan turut menyertai acara larian berganti-ganti itu dan muncul juara.
“Saya lebih merasa ‘kejadian’ itu sebagai lucu kerana keberadaan peserta tidak kelihatan dan yang menariknya semua penonton menunggu dengan debaran siapakah pelari yang akan muncul dulu dari sebalik kabus berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Kedudukan Kompleks Sukan Ranau yang terletak di kawasan tanah tinggi menyebabkan ia sering diselimuti kabus tebal terutama pada waktu pagi dan selepas hujan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




