Mangsa kebakaran mercun dipindah ke Hospital Pulau Pinang

Mangsa kebakaran mercun dipindah ke Hospital Pulau Pinang

Kulim: Seorang mangsa yang mengalami kecederaan serius susulan kebakaran mercun di Paya Besar dekat sini malam tadi, dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang, manakala lima lagi yang cedera masih dirawat di zon merah Hospital Kulim di sini.

Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata, daripada keseluruhan 22 mangsa yang dilaporkan cedera, beliau berkesempatan menziarahi lima mangsa yang masih menerima rawatan di hospital.

“Susulan tragedi yang berlaku malam tadi, hari ini saya melawat mangsa. Ada lima yang masih menerima rawatan di zon merah termasuk seorang kanak-kanak perempuan, seorang wanita dan tiga lelaki.

“Setakat maklumat yang diterima ada 22 mangsa, kita akan cuba jejak mangsa-mangsa lain yang telah pulang selepas mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran mercun di Hospital Kulim dekat sini, hari ini.

Saiful Ambar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada mangsa lain yang mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan sendiri di klinik.

“Kita akan cuba bantu mangsa yang terlibat demi kebajikan mereka. Mengenai insiden berkenaan saya rasa sebaiknya tunggu laporan siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam kejadian pada 12.45 tengah malam tadi, sebanyak 22 orang awam cedera termasuk seorang lelaki mengalami kecederaan serius pada dahi, dalam insiden letupan akibat pembakaran mercun di Paya Besar dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan dilaporkan berkata kejadian disedari anggota yang membuat rondaan pencegahan jenayah yang melihat kesesakan lalu lintas dengan kehadiran orang ramai di tepi jalan Paya Besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top