Maniam kagum sifat tidak menyerah kalah PDRM FC

Maniam kagum sifat tidak menyerah kalah PDRM FC

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Ketua Jurulatih PDRM FC, P Maniam menyifatkan kejayaan melayakkan diri dua tahun berturut-turut ke pentas akhir saingan Piala Cabaran adalah hasil dari sikap tidak mudah menyerah kalah dan berjuang hingga saat akhir yang ada pada setiap pemainnya.

Pada aksi semalam PDRM FC berjaya melakar kejayaan ke pentas final saingan berkenaan selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melalui penentuan sepakan penalti (5-4) selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 (agregat 4-4) pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman.

Menurut Maniam, kejayaan yang ditempa itu tidak mudah buat skuadnya selepas terpaksa menempuh tentangan cukup hebat Kedah beraksi dengan luar biasa meskipun berdepan isu dalaman dan kewangan pada ketika ini.

“Kita boleh lihat di mana kami diberi tentangan yang cukup hebat oleh pasukan Kedah, mereka beraksi dengan luar biasa. Walaupun mengalami masalah gaji, tetapi cara mereka begitu komited dengan aksi terbaik.

“Namun saya bersyukur kerana kami dapat sekali lagi ke peringkat akhir musim ini berbekalkan semangat tidak mudah menyerah kalah dan berjaya bangkit mengubah keadaan di separuh masa kedua seterusnya menyamakan kedudukan di saat akhir.

“Kalau tengok kebanyakan perlawanan lalu, kami kerap bangkit pada saat akhir dan ada masa kami berjaya memenangi perlawanan. Ini satu kekuatan melalui kerjasama yang ada pada kami, tidak mudah menyerah kalah,” katanya selepas perlawanan semalam.

Maniam berkata, bagi menghadapi aksi final kali ini yang disifatkan cukup mencabar berbanding final musim lalu, skuadnya perlu lebih bersedia dalam menghadapi cabaran berkenaan jika ingin mengulanginya pada musim ini.

“Bagaimanapun saya rasa kualiti yang kami persembahkan pada malam ini (semalam) perlu dipertingkatkan lagi jika mahukan kejayaan di final nanti dan semestinya kami perlu beraksi dengan lebih baik.

“Memasuki peringkat final sudah dikira baik buat kami kerana lebih banyak pasukan yang bagus memberi cabaran pada tahun ini dan saya jangkakan pemain akan lebih bersemangat menghadapinya walaupun tekanan kali ini lebih tinggi.

“Sama ada berdepan Selangor FC ataupun Penang FC ia pasti aksi yang cukup mencabar dan kami akan membuat persiapan seterusnya dengan meneliti corak permainan kedua-dua pasukan itu pada aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung esok (hari ini),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top